Anda di sini!
Utama > Hiburan > Datuk Awie Sedia Bukukan Pengalaman Hidup

Datuk Awie Sedia Bukukan Pengalaman Hidup

Penyanyi, Datuk Awie bersedia membukukan pengalaman pahit manis selama lebih tiga dekad sebagai pejuang seni bagi memberi iktibar kepada masyarakat.

Awie berkata, tiada rahsia yang disembunyikan, sebaliknya segala peristiwa yang berlaku sepanjang pendakian hingga namanya dikenali ramai bakal mengisi buku itu.

“Saya sudah bertemu seorang penulis untuk memulakan projek itu beberapa tahun lalu, tetapi terpaksa dihentikan selepas syarikat yang berminat menerbitkan buku itu ditutup.

“Jika ada penulis yang sedia melaksanakan misi ini, saya sanggup bekerjasama kerana banyak kisah pahit manis yang saya belum kongsi kepada umum.

“Semuanya akan saya ceritakan, namun ia hanya berkaitan diri sendiri. Saya tidak akan membuka aib individu lain yang pernah ada dalam hidup dan kerjaya saya.

“Ia bukan biografi, sebaliknya lebih kepada penceritaan berbentuk fakta berdasarkan perjalanan hidup saya sebagai anak seni dan insan biasa,” dipetik sebagai berkata.

Awie atau nama sebenarnya Ahmad Azhar Othman, 51, menceburi industri muzik pada 1985 bersama Syam (gitar utama), Baharim (gitar), Zul (bass) dan Jojet (dram) dengan menubuhkan Wings.

Populariti Wings meledak selepas menghasilkan album, Belenggu Irama yang mendapat sentuhan komposer dan penulis lirik hebat, termasuk Datuk M Nasir, JS Kevin dan Bob Lokman.

Dalam pembikinan album sulung itu, perubahan anggota turut berlaku apabila Eddie menggantikan tempat Zul, manakala Black mengambil posisi Jojet.

Perubahan anggota sesebuah kumpulan muzik itu lumrah, namun pengunduran Awie selepas album kelima, Bazooka Panaka sekitar 1993 memberi impak besar.

Begitu juga kemasukan semulanya dalam kumpulan itu, tujuh tahun lalu membuatkan namanya kembali hangat diperkatakan.

Sementara itu, Awie berkata, konsert yang bakal diadakan pada 15 Februari depan itu sempena meraikan sambutan jubli perak kerjayanya sebagai penyanyi solo.

Konsert mega berkonsep teaterikal itu turut mengundang beberapa rakan seperjuangan, termasuk penyanyi Indonesia.

“Setakat ini, antara nama dalam senarai, termasuk Erra Fazira, Ziana Zain, Datuk Seri Siti Nurhaliza dan artis Indonesia. Tetapi, ia masih dalam perbincangan kerana perlu diselaraskan mengikut kesesuaian tema,” katanya.

BH Online

Leave a Reply

Top