MH Online

Laman Suara Rakyat

Dasar Automotif Negara Akan Disusun Semula

Dasar Automotif Negara Akan Disusun Semula

KUALA LUMPUR, Kerajaan sedang menyusun semula pelan tindakan dalam melaksanakan Dasar Automotif Nasional (NAP) 2020.

Menteri Kanan (Perdagangan Antarabangsa dan Industri), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, berkata langkah itu bertujuan menjadikan sektor automotif negara lebih berdaya saing dan maju.

“Langkah ini akan dapat membantu menyegerakan pemulihan sektor automotif negara melalui galakan pelaburan dalam segmen kenderaan berteknologi tinggi dan mesra alam sekitar.

“Ia turut merangkumi pembangunan tenaga mahir tempatan, peningkatan aktiviti pembuatan bernilai tinggi, terutama bagi produk pasaran lepas jualan dan mengaplikasikan teknologi termaju dalam rantaian bekalan automotif,” katanya dalam sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Ong Kian Ming (PH-Bangi) mengenai anggaran jumlah keseluruhan industri (TIV) untuk sektor automotif pada tahun ini, selain langkah yang akan diambil kerajaan untuk memberikan bantuan dan insentif bersasar kepada industri.

Menerusi perangkaan dikeluarkan Persatuan Pemasangan dan Pengedaran Skuter, Motosikal Malaysia (MASAAM), Mohamed Azmin berkata tiada sebarang transaksi jualan motosikal direkodkan pada April lalu.

Bagaimanapun, katanya, penjualan motosikal kembali mencatatkan transaksi , masing-masing sebanyak 19,507 unit pada Mei dan 42,190 unit pada bulan lalu.