JOHOR BAHRU, Pakatan Harapan (PH) akan menggunakan logo dan simbol Parti Keadilan Rakyat (PKR) untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Pengumuman itu dibuat Pengerusi PH, Tun Dr Mahathir Mohamad pada program Jelajah Harapan di Taman Bukit Dahlia, di Pasir Gudang, di sini, malam tadi.

“Saya dengan sukacita ingin maklum dalam Pilihan Raya Umum ke-14 ini, keempat-empat buah parti ini (DAP, PKR, Amanah) termasuk Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) sebagai individu, akan menggunakan simbol Keadilan (PKR),” katanya berucap pada program berkenaan.

Hadir sama Timbalan Presiden PH, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Presiden PKR, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Presiden Amanah, Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

Sementara itu, Mohamad mengumumkan timbalannya, Salahuddin Ayub akan bertanding kerusi Parlimen Pulai yang disandang oleh wakil Barisan Nasional (BN) Datuk Nur Jazlan Mohamed.

Selain itu, Exco Pemuda Amanah Johor, Abrary Ramly bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pasir Raja, Timbalan Ketua Amanah Pengerang, Ahmad Kamah Nor (DUN Penawar), Timbalan Pengerusi Amanah Johor, Dzulkefly Ahmad (DUN Kota Iskandar).

Setiausaha Organisasi Amanah, Suhaizan Kaiat akan bertanding kerusi DUN Kukup.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *