Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > Dana PNB Cecah RM279 Bilion Setelah 40 Tahun

Dana PNB Cecah RM279 Bilion Setelah 40 Tahun

KUALA LUMPUR, Setelah 40 tahun ditubuhkan, Permodalan Nasional Berhad (PNB) kini menjadi syarikat pengurusan pelaburan terbesar di Malaysia dengan jumlah dana RM279 bilion dengan 98 peratusnya daripadanya dilaburkan di dalam negara untuk membantu mewujudkan lebih banyak peluang perniagaan dan peluang pekerjaan kepada rakyat Malaysia.

Ini termasuklah memberikan peluang yang saksama kepada golongan profesional Bumiputera terlibat dalam sektor korporat.

Pengerusi Kumpulan PNB, Tan Sri Abdul Wahid Omar menerusi kenyataannya hari, berkata sebanyak 70 peratus daripada dana tersebut turut dilaburkan dalam saham tersenarai atau public equity.

Katanya, pelaburan dalam saham tersenarai itu bernilai RM200 bilion merangkumi lebih 10 peratus daripada nilai modal pasaran syarikat yang tersenarai di Bursa Malaysia.

“Ini termasuklah 10 syarikat strategik iaitu Maybank, Sime Darby Plantation, Sime Darby Berhad, Sime Darby Property, SP Setia, UMW Holdings, UMW Oil & Gas, CCM, CCM Duopharma dan MNRB.

“PNB juga memiliki pelaburan dalam lebih 40 syarikat teras seperti TM, Axiata, MMC, TNB dan BIMB Holdings di mana PNB memiliki lebih 10 peratus ekuiti atau nilai pelaburan lebih RM1 bilion dalam syarikat tersebut,” katanya.

Beliau berkata, keluarga PNB juga sebenarnya ramai dengan peringkat PNB dan Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) sahaja ada lebih 1,500 orang.

Katanya, separuh daripada mereka merupakan anak muda di bawah umur 40 tahun dan kalau dicampur kesemua warga syarikat strategik, jumlahnya lebih besar melebihi 179,000 orang.

“Separuh di Malaysia dan separuh lagi di luar negara. Dan 50,000 daripada mereka merupakan rakyat Malaysia.

“Dari segi gender diversity, majoritinya adalah dari kalangan wanita. Syarikat strategik PNB mematuhi keperluan 30 peratus ahli Lembaga Pengarah dari kalangan wanita.

“Malah tiga daripada 10 syarikat Strategik kami dipengerusikan oleh wanita, iaitu Datuk Mohaiyani Shamsuddin Pengerusi Maybank, Datuk Normala Abdul Samad, Pengerusi CCM dan Tan Sri Siti Sa’adiah pula Pengerusi CCM Duopharma.

“Salah seorang daripada tiga Timbalan Presiden PNB adalah wanita iaitu Datin Paduka Kartini. Malah Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) wanita pun, kita ada iaitu Puan Nik Fazila, CEO CCM,” katanya.

Abdul Wahid berkata, pada November 2016, beliau bersama-sama Datuk Abdul Rahman Ahmad mengumumkan pelan strategik PNB 2017-2022 yang dinamakan ‘Strive 15′ yang menyasarkan PNB menjadi sebuah Firma Pelaburan Distinktif Bertaraf Dunia.

“Seluruh warga PNB bekerja dengan gigih melaksanakan kesemua 15 inisiatif strategik di bawah tiga teras strategik iaitu Meningkatkan Pulangan Secara Mampan, Pengurusan Pelaburan Yang Berkesan dan Memacu Kecemerlangan Operasi.

“Alhamdulillah, kesemuanya berjalan lancar dan membuahkan pelbagai kejayaan, termasuklah peningkatan pendapatan yang membolehkan PNB membayar dividen dan bonus sebanyak 7.25 peratus serta bonus khas satu peratus untuk 10,000 unit pertama sempena ulang tahun PNB yang ke-40.

“Ini melibatkan sejumlah RM14.4 bilion dividen untuk tahun 2017 dan lebih RM172 billion jumlah terkumpul dividen yang telah dibayar kepada para pelabur sejak PNB ditubuhkan,” katanya.

Abdul Wahid berkata, sempena menyambut ulang tahun PNB ke-40 ini, beliau amat menghargai jasa, bakti dan pengorbanan barisan kepimpinan PNB yang lalu bermula dengan Allahyarham Tun Ismail Ali yang akan menjangkau usia 100 tahun ini sekiranya masih bersama hari ini.

“Tun Ismail juga merupakan orang Malaysia pertama yang dilantik sebagai Gabenor Bank Negara Malaysia dan berkhidmat sebagai Pengerusi pertama apabila PNB ditubuhkan pada 17 Mac 1978 sehingga 17 Oktober 1996.

“Selepas itu, Allahyarham Tun Ismail terus menjadi Penasihat kepada PNB sehingga beliau meninggal dunia pada 6 Julai 1998.

“Kita juga menghargai jasa Pengerusi PNB yang kedua, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid dan semua Ketua-ketua Pegawai Eksekutif yang terdahulu iaitu Tan Sri Desa Pachi, Tan Sri Khalid Ibrahim, Dato’ Sri Mohd Hilmey dan Tan Sri Hamad Kama Piah yang telah membina PNB sehingga menjadi sebuah institusi nasional yang berintegriti.

“Terima kasih juga kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang juga Pengerusi Yayasan Pelaburan Bumiputera (YPB), Timbalan Perdana Menteri (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) dan Ahli-ahli Lembaga Pemegang Amanah YPB atas segala pimpinan dan sokongan kepada kami.

“Penghargaan kami juga kepada barisan Jemaah Menteri, Ketua Setiausaha Negara dan semua penjawat awam serta Lembaga Pengarah, pengurusan dan seluruh warga PNB, ASNB dan Syarikat-syarikat Kumpulan PNB atas segala sokongan selama ini.

“Tidak dilupakan ialah penghargaan kepada semua pelabur yang telah memberikan kepercayaan kepada kami untuk menguruskan wang mereka secara profesional. Kami berharap akan mendapat sokongan berterusan daripada anda semua.

“Kami berjanji akan terus memegang amanah dan membuat yang terbaik untuk manfaat lebih 13.3 juta pelabur dan semua rakyat Malaysia,” katanya.

Leave a Reply

Top