MH Online

Laman Suara Rakyat

‘Dalam Perancangan Memang Tiada Nama Fattah’

'Dalam Perancangan Memang Tiada Nama Fattah'

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS), Ahmad Idham Ahmad Nadzri, menafikan dakwaan pihaknya bersetuju menampilkan Fattah Amin bersama Nur Fazura di pentas ketika penyampaian trofi Anugerah Khas Juri, Festival Filem Malaysia ke-30 (FFM30), Sabtu lalu.

Mengakui terkejut dengan berita tersebar itu, Ahmad Idham memohon penjelasan daripada pihak Astro.

“Saya sudah memeriksa dengan jawatankuasa FINAS dan FFM30 dan mendapati tiada sebarang perbincangan untuk membawa Fattah naik ke pentas sebagai elemen kejutan seperti yang didakwa. Malah, menerusi aturcara perjalanan acara, memang tiada langsung nama Fattah. Sebaliknya mereka yang terbabit hanya Fazura, Datuk Hans Isaac dan Maya Karin.

“Jika apa yang berlaku ini adalah perancangan pihak Astro, mereka harus bertanggungjawab dalam hal ini. Saya mohon mereka dapat memberikan jawapan secara bertulis kerana kami ada bukti mengatakan FINAS memang tidak tahu menahu mengenai elemen kejutan dinyatakan itu,” dipetik sebagai berkata.

Tambahnya, sebagai acara bertaraf nasional, badan penyiar terbabit sepatutnya lebih peka dan tidak melakukan sesuatu mengikut suka hati sehingga mencalarkan reputasi festival berkenaan.

“Stesen terbabit sepatutnya perlu menghormati FINAS kerana kami membayar kos produksi mereka. Setiap keputusan ataupun perubahan, perlu dimaklumkan kerana FFM adalah sebuah majlis berprestij.

“Rasa terkilan juga kerana perjalanan acara yang lancar dan menjadi sohor kini, namun reputasinya tercalar disebabkan kontroversi ini,” ujarnya.

Dalam pada itu, Ahmad Idham turut mengharapkan persengketaan antara Hans dan Fazura tidak berlarutan hinggalah laporan lengkap daripada Astro diterima perbadanan terbabit.

“Ia tak sihat untuk industri dan saya rasa mereka mungkin menjadi mangsa permainan pihak tertentu yang mahukan publisiti murahan.” katanya.

Terdahulu, kontroversi ini tercetus apabila Fazura mendakwa menjadi mangsa fitnah Hans.

Penerbit dan pelakon itu didakwa menuduhnya bersikap tidak profesional dengan menetapkan syarat kepada penganjur supaya membenarkan suaminya menaiki pentas FFM30 untuk menemaninya menyampaikan anugerah.

Kata aktres terbabit, Hans membuat tuduhan melulu itu menerusi aplikasi WhatsApp yang dikirim kepadanya, pagi kelmarin.

Sehubungan itu, Fazura meminta supaya Hans memohon maaf kepadanya kerana membuat tuduhan tanpa usul periksa.