MH Online

Laman Suara Rakyat

Dakwaan SUHAKAM Tidak Benar

Dakwaan SUHAKAM Tidak Benar

KUALA LUMPUR, Kementerian Dalam Negeri (KDN) menafikan dakwaan kononnya kerajaan berpatah balik dalam soal pemansuhan atau pindaan undang-undang terhadap enam akta yang berada di bawah bidang kuasanya.

KDN dalam satu kenyataan yang dikeluarkan semalam berkata dakwaan Pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM), Prof Datuk Dr Aishah Bidin, semalam, menerusi sebuah portal berita adalah tidak benar.

“Pada masa ini KDN sudah menubuhkan Jawatankuasa Khas Kajian Undang-Undang dan Jawatankuasa Teknikal bagi mengkaji semua enam undang-undang berkenaan.

“Selain jabatan kerajaan seperti Jabatan Peguam Negara dan Polis Diraja Malaysia (PDRM), kedua-dua jawatankuasa ini turut dianggotai wakil Badan Peguam Malaysia, SUHAKAM, pengamal undang-undang dan ahli akademik,” katanya.

Antara undang-undang bawah bidang kuasa KDN adalah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah – langkah Khas) 2012 (SOSMA); Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA); Akta Pencegahan Keganasan 2015 (POTA); Akta Hasutan 1984; Akta Perhimpunan Aman 2012 (APA) dan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (AMCP).

KDN berkata, pada masa ini, Rang Undang-Undang (RUU) bagi pindaan SOSMA dan APA sudah disiapkan.

“RUU bagi pindaan APA sudah mendapat kelulusan Jabatan Peguam Negara dan akan dibawa ke Jemaah Menteri dalam masa terdekat untuk diputuskan sebelum dijangka akan dibentang dalam sesi sidang Dewan Rakyat akan datang.

“RUU bagi pindaan SOSMA pula masih dalam semakan Jabatan Peguam Negara dan turut dicadangkan untuk dibentang dalam sesi sidang Dewan Rakyat akan datang,” katanya

Kenyataan itu juga menyatakan cadangan pindaan atau pemansuhan bagi akta lain iaitu POCA, POTA, AMCP dan Akta Hasutan 1948 masih di peringkat perbincangan dengan PDRM, Jabatan Peguam Negara dan agensi lain yang berkaitan.

Keputusan untuk meminda atau memansuhkan akta ini perlu dibuat dengan teliti dan dikaji dengan mendalam supaya kepentingan keselamatan negara tidak terjejas.

Dalam sidang media semalam, SUHAKAM berkata pihaknya terkejut apabila kerajaan Pakatan Harapan (PH) memutuskan untuk tidak mengubah beberapa undang-undang yang dianggap zalim, walaupun menubuhkan pasukan petugas khas untuk mengkajinya.