Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > Dakwaan Pembangkang Tak Berasas

Dakwaan Pembangkang Tak Berasas

PUTRAJAYA, Kementerian Dalam Negeri (KDN) menegaskan dakwaan sebuah parti pembangkang bahawa ada 100,000 pemegang kad pengenalan pemastautin tetap (MyPR) berasal dari China sudah dianugerahkan kewarganegaraan oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH), adalah tidak berasas dan tidak bertanggungjawab.

Menurut kenyataan KDN, berdasarkan rekod Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dari 10 Mei 2018 hingga 15 Mei lalu, hanya 37 individu dari China dianugerahkan kewarganegaraan Malaysia.

Menurutnya, kewarganegaraan adalah anugerah tertinggi Kerajaan Persekutuan dan hak eksklusif yang tidak ditawar serta diberikan dengan sewenang-wenang.

“Permohonan kewarganegaraan hanya boleh dikemukakan selepas seseorang warga asing memenuhi syarat diperuntukkan bawah Bahagian III Perlembagaan Persekutuan dan Citizenship Rules 1964 [LN82/1964] serta perundangan lain yang berkuat kuasa seperti peraturan imigresen.

“Setiap pertimbangan dibuat dengan teliti kerana ia akan menyebabkan warga asing itu menikmati keistimewaan dan hak yang sebelum ini dinikmati warganegara Malaysia sahaja.

“Adalah ditegaskan agar mana-mana pihak tidak mengeluarkan dakwaan tidak berasas yang boleh mengelirukan orang awam dan menggugat keharmonian negara,” menurut kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, KDN sentiasa komited memastikan semua penganugerahan kewarganegaraan adalah teratur dan berasaskan prinsip Perlembagaan Persekutuan.

Leave a Reply

Top