Datuk Seri Najib Razak berkata putar belit pembangkang kononnya pelaburan besar syarikat berkaitan kerajaan dan agensi Malaysia di sini hanya menguntungkan Amerika Syarikat (AS), adalah tidak benar.

Perdana Menteri berkata, mereka memberikan maklumat salah kepada rakyat kerana ia menguntungkan negara dan memberi pulangan, termasuk pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

“Saya ingin jelaskan putar belit kononnya kita menyumbangkan kepada ekonomi AS tanpa mendapat pulangan. Ia tidak betul.

“Jika kita melabur di AS seperti KWSP, kita akan dapat pulangan dan dividen akan diberi semula kepada pekerja yang mencarum. Ia bukan jalan sehala (menguntungkan AS sahaja). Ada yang putar belit kononnya saya di sini (lawatan ke AS) untuk membeli pengaruh dari AS,” kata Perdana Menteri dalam sidang media di sini.

Beliau juga menjelaskan tiada kesangsian berhubung pelaburan KWSP kerana agensi itu tidak akan melabur jika tidak memperoleh pulangan walaupun sedikit dan sentiasa menetapkan kriteria yang berhati-hati dalam membuat pelaburan.

Najib berkata, apabila Penerbangan Malaysia Bhd (MAB) membeli pesawat Boeing baharu, ia bertujuan menjadikan ia lebih kompetitif termasuk membeli jenis Dreamliners, selaras dengan program transformasi dan rasionalisasi syarikat penerbangan itu.

Beliau juga menyentuh pelaburan Khazanah Nasional Bhd dalam syarikat teknologi tinggi yang menurutnya mahu menjadikan syarikat itu milik Malaysia dan menjana pendapatan pada masa depan.

“Kita perlu berfikir ke hadapan, seperti syarikat AS melabur di negara kita kerana mahukan keuntungan. Kejayaan kita yang kini menjadi pengeksport modal adalah petunjuk bahawa kita adalah negara berjaya,” katanya.

Dalam pertemuan dengan Presiden Donald Trump kelmarin, Najib memaklumkan Malaysia bercadang menambah bilangan pesawat yang mahu dibeli oleh Penerbangan Malaysia.

Malaysia telah komited membeli 25 pesawat 737 MAX 10 dan lapan pesawat 787 Dreamliners tetapi kemungkinan menambah 25 lagi 737 MAX 10 pada masa depan.

KWSP pula merancang melabur hingga AS$$4 bilion lagi sebagai tambahan kepada hampir USD$7 bilion sekarang.

Selain itu, Khazanah yang memiliki pejabat di Lembah Silikon merancang menambah lebih daripada pelaburan sedia ada sebanyak AS$450 juta sekarang.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *