Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > Dakwa Diculik Kerana Takut Dimarahi

Dakwa Diculik Kerana Takut Dimarahi

SUBANG JAYA, Bimbang dimarahi ibu bapanya, seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun sanggup mereka-reka cerita mendakwa diculik hanya kerana dia pulang lambat selepas bermain basikal lajak di Puchong Permai, di sini, semalam.

Sumber memberitahu, kanak-kanak itu dikatakan berjanji bersama beberapa rakan, Jumaat lalu, untuk bermain basikal lajak di sebuah lokasi di Puchong Permai, yang terletak kira-kira empat kilometer dari kediamannya di Jalan PU 9, di sini.

Semalam, kanak-kanak itu dipercayai mengayuh basikalnya bersendirian ke lokasi yang ditetapkan, namun rakannya tidak muncul.

“Akibat mengayuh jauh, kanak-kanak itu keletihan dan dia juga tidak mahu pulang ke rumah kerana takut dimarahi ibu bapanya kerana sudah menjelang malam.

“Dia kemudian dipercayai memperdaya seorang lelaki supaya membantu menghubungi ibu bapanya dengan alasan dia menjadi mangsa penculikan,” kata sumber.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Mohammad Azlin Sadari, berkata siasatan mendapati kanak-kanak itu keluar dari rumah tanpa pengetahuan ibu bapanya.

“Kanak-kanak itu takut dimarahi ibu bapanya, lalu mengada-adakan cerita diculik.

“Kes diklasifikasikan sebagai NFA (tiada tindakan susulan) dan kanak-kanak itu diberikan amaran. Dia masih muda dan tidak memikirkan natijah membuat laporan palsu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sementara itu, satu mesej berhubung kejadian ‘penculikan’ ke atas kanak-kanak berkenaan tersebar luas di media sosial sejak siang tadi dipercayai disebarkan oleh pihak kariah masjid di kediaman keluarga kanak-kanak untuk tujuan peringatan kepada orang awam.

Berikut adalah sebahagian petikan mesej yang tersebar:

“Malam tadi sekitar jam 9.30 malam berlaku kes penculikan anak jemaah kita saudara *******, **** di rumahnya Jalan PU 9, yang mana dua orang penculik memanjat tembok pagar dan masuk ke dalam halaman rumah ketika beliau sedang leka bermain basikal.

“Penculik menutup muka dan membawa **** keluar secara paksa bersama basikalnya melalui pintu pagar yang tidak berkunci.

“Dia dibawa masuk ke dalam van dan ada lima orang berpakaian seperti badut dalam van itu. Ketika kejadian, bapanya masih bekerja, manakala ibunya berada di tingkat atas.

“Ibunya menyedari kehilangan **** setelah beliau turun ke bawah dan pintu pagar terbuka. Beliau keluar mencari di kawasan berhampiran, termasuk padang berdekatan rumah.

“Usaha mencari dilakukan bersama bapanya setelah pulang dari kerja di kawasan AEON Big, Tesco, Court 1 dan Court 2.

“Pada jam 11.45 malam, bapanya menerima panggilan telefon dari seorang lelaki bahawa **** ditemui dalam keadaan lemah, tidak bermaya dan ditinggalkan bersendirian di kawasan berhampiran Sekolah Menengah Puchong Permai.”

Menerusi mesej itu juga, kanak-kanak itu dikatakan ditampar beberapa kali ketika berada di dalam van dan ditanya latar belakang keluarga serta pendapatan bapanya sebelum dia ditinggalkan di sebuah kawasan gelap di Puchong Permai.

Leave a Reply

Top