MH Online

Laman Suara Rakyat

Cuma Perbezaan Pandangan

Cuma Perbezaan Pandangan

PUTRAJAYA, Dakwaan PKR dilanda masalah berpuak-puak adalah berpunca daripada perbezaan pendapat dalam kalangan pemimpin dan ahlinya.

Menyifatkan perkara itu biasa dalam mana-mana parti politik, Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata perbezaan pandangan itu menampakkan parti seperti mempunyai dua kem.

“PKR dilihat bermasalah kerana parti ini semakin mendapat perhatian ramai selepas menjadi parti pemerintah. Mana-mana organisasi politik pun ada masalah perbezaan pendapat, ini adalah lumrah.

“Untuk berlaku adil, dalam parti lain pun akan ada berlaku perbezaan pendapat ini. Namun, ramai yang fokus kepada PKR kerana kami kini parti kerajaan yang paling besar jumlah kerusi dimenangi pada pilihan raya umum yang lalu,” dipetik sebagai berkata.

PKR didakwa mengalami masalah kepuakan apabila berlaku pertembungan antara kem Presiden, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalannya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Sebelum ini, pemimpin PKR termasuk Anwar menafikan parti itu terbahagi kepada dua kem yang bertelagah sesama sendiri.

Saifuddin menegaskan sebagai Setiausaha Agung beliau sering turun padang dan bertemu dengan akar umbi dan setakat ini tidak nampak adanya keretakan seperti yang diperkatakan banyak pihak.

Katanya, adalah tidak adil PKR dikatakan semakin retak hanya kerana beberapa orang pemimpinnya tidak sependapat dalam beberapa perkara.

“Kerja saya turun ke bawah dan saya perhatikan di konvensyen negeri di Pulau Pinang baru-baru ini, ada 13 cabang hadir pada konvensyen negeri dan hanya satu yang tidak hadir, jadi taklah sebab satu cabang tidak hadir maka kita katakan sudah ada keretakan, ini tidak adil.

“Konvensyen negeri di Johor, presiden turun, 26 cabang semua cabang hadir, jadi mana keretakan yang berlaku?” soalnya.

Bagaimanapun, Saifuddin mengakui sebagai sebuah parti, PKR tidak terlepas daripada masalah ketidaksefahaman dalam kalangan pemimpin tetapi ia tidak sampai meruntuh dan menyebabkan parti terbelah dua.

“Saya adalah antara kepemimpinan parti yang masih bersama parti sejak daripada penubuhannya, saya melihat perkara seumpama ini datang dan pergi, begitu juga dengan kepemimpinan parti.

“Parti dari 1999 sehingga 2019 terus bergerak. Pemimpin datang dan pergi dari zaman Zaid Ibrahim, Candra Muzaffar, Zainur Zakaria, Mohd Ezam dan Nell Onn memang ada keretakan itu.

“Keretakan dan tidak sependapat ini sentiasa wujud setiap masa dan sampai hari ini, PKR masih berdiri kukuh.

Ditanya lanjut mengenai aduan salah laku beberapa pemimpin PKR termasuk Naib Presidennya, Zuraida Kamaruddin kepada Lembaga Disiplin, katanya beliau hanya mengetahui mengenai perkara itu melalui laporan media.

Katanya, pejabat Presiden mahupun pejabat Setiausaha Agung tidak terbabit dengan aduan berkenaan dan tidak dimaklumkan mengenai perkara itu.

“Lembaga Disiplin ini (bergerak) tersendiri, entiti bebas dan tidak bergantung kepada mana-mana pihak lain. Ia mengambil keputusan mengikut pertimbangan mereka sendiri.

“Diketuai Speaker Negeri Kedah, Datuk Ahmad Kassim, lembaga itu menguruskan aduan yang diterima dan pejabat Setiausaha Agung mahupun pejabat Presiden kami tidak campur tangan termasuk tindakan yang dikenakan lembaga itu.,” katanya.

Mengulas dakwaan menyatakan Lembaga Disiplin itu lambat bertindak, Saifuddin berkata dakwaan itu tidak tepat kerana lembaga itu pernah mengambil tindakan kepada pemimpin tertinggi parti termasuk pernah memecat Menteri Besar Selangor yang juga ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP), Tan Sri Khalid Ibrahim begitu juga ahli Parlimen Bandar Baru, Zulkifli Nordin.

“Lembaga Disiplin ini sudah buktikan tiada campur tangan Biro Politik mahu pun MPP dalam mengambil tindakan.

“Tidak perlu perlu kelulusan MPP cuma pemakluman kepada Setiausaha Agung dan Presiden itu saja,” katanya.