MH Online

Laman Suara Rakyat

Cukai Tak Naik Punca Isu Pembangunan Sukar Dilaksanakan

Cukai Tak Naik Punca Isu Pembangunan Sukar Dilaksanakan

KUALA LUMPUR, Isu pembangunan sukar dilaksanakan di sesetengah kawasan pihak berkuasa tempatan (PBT) dikenal pasti berpunca daripada kadar cukai taksiran tidak dinaikkan dalam tempoh terlalu lama.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin, berkata ada PBT yang tidak menaikkan cukai taksiran sejak lebih 30 tahun sehingga memberi kesan terhadap pendapatan dan terpaksa meminjam dengan kerajaan negeri.

Beliau berkata, pinjaman itu dikenakan faedah, sekali gus dengan sendirinya membebankan keadaan semasa PBT.

“PBT tidak dapat menaikkan cukai taksiran kerana tertakluk kepada keputusan kerajaan negeri. Apabila tiada duit, kerajaan negeri tidak dapat menampung, maka mereka berharap dengan kerajaan Persekutuan.

“Kadang-kadang ada kerajaan negeri yang meminjamkan duit kepada PBT dan perlu dibayar dengan faedah.

“Contohnya, Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) kali terakhir menaikkan cukai 38 tahun dahulu, Majlis Bandaraya Kuala Terengganu pula 35 tahun lalu.

“Rata-rata PBT di seluruh negara tidak menaikkan cukai hampir 20 tahun, jadi bagaimana PBT nak berdikari untuk melaksanakan kerja mereka,” katanya dalam Waktu Pertanyaan Menteri (MQT) di Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Seri Hasan Arifin (BN-Rompin) yang ingin mengetahui usaha Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bagi menyemarakkan sistem demokrasi negara dalam kalangan PBT.

Zuraida memberi contoh pendapatan PBT seperti di Selangor, Johor dan Negeri Sembilan yang menunjukkan peningkatan selepas menaikkan kadar cukai taksiran.

“Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) membuat penilaian harta dalam kawasan perkadaran pada 2006 dengan 263,000 pegangan.

“Mereka mampu menaikkan pendapatan sebanyak RM34 juta, begitu juga Majlis Perbandaran Kulai apabila menaikkan cukai kali terakhir pada 2008, mereka dapat meningkatkan pendapatan RM8.7 juta.

“Majlis Daerah Kuala Pilah kali terakhir menaikkan cukai pada 1985 mampu untuk meningkatkan pendapatan sebanyak RM3 juta.

“Bayangkan jika mereka boleh melaksanakan ini lima tahun sekali seperti tertera dalam akta, pasti PBT mampu membuat lebih pembangunan dan keputusan di kawasan masing-masing,” katanya.