MH Online

Laman Suara Rakyat

CUEPACS Mohon Kerajaan Timbang Bantuan Khas Aidilfitri

CUEPACS Mohon Kerajaan Timbang Bantuan Khas Aidilfitri

KUALA LUMPUR, Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) memohon pertimbangan kerajaan agar dapat memberikan bantuan khas kewangan Aidilfitri kepada penjawat awam dan pesara kerajaan di seluruh negara.

Presidennya, Adnan Mat berkata, secara tradisinya kerajaan pada setiap tahun akan memberikan sejumlah bantuan khusus untuk penjawat awam dan pesara kerajaan bagi membeli barangan keperluan sebagai persiapan menyambut Aidilfitri.

Beliau berkata, Cuepacs merasakan pemberian bantuan kewangan sempena Aidilfitri itu wajar diteruskan sebagai tanda penghargaan kepada semua penjawat awam, di samping dapat meringankan beban mereka.

“Pemberian ini wajar diberikan memandangkan kali terakhir penjawat awam menerima bonus ialah pada tahun 2012. Selepas tahun tersebut, penjawat awam hanya menerima bantuan khas kewangan sahaja.

“Cuepacs telah menghantar surat kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengenai perkara ini. Terpulang kepada pertimbangan Perdana Menteri untuk meluluskan permintaan tersebut kepada penjawat awam dan pesara kerajaan.

“Cuepacs juga berharap kerajaan negeri turut memberikan bantuan khas kewangan Aidilfitri kepada penjawat awam yang bertugas di peringkat negeri, pihak berkuasa tempatan serta semua badan berkanun dan syarikat berkaitan kerajaan negeri,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Adnan berkata, hanya kerajaan negeri Johor bersetuju untuk memberikan bantuan khas kewangan Aidilfitri kepada penjawat awam di negeri berkenaan.

“Cuepacs mengucapkan terima kasih atas keprihatinan kerajaan negeri Johor tersebut dan berharap ia dituruti oleh kerajaan Persekutuan dan lain-lain kerajaan negeri,” katanya.

Dalam masa sama, beliau berharap semua pihak berlapang dada dan tidak mempertikaikan sekiranya kerajaan memberikan bantuan khas Aidilfitri itu kepada penjawat awam.

Menurutnya, kerajaan merupakan majikan kepada penjawat awam dan tidak menjadi kesalahan untuk mereka meminta sesuatu bantuan daripada majikan sendiri.

“Daripada sudut yang luas, pemberian bantuan khas kewangan ini secara tidak langsung turut memberi impak positif kepada ekonomi dan rakyat apabila wang tersebut beredar ke pasaran.

“Bantuan kewangan tersebut sudah pasti akan dibelanjakan untuk membeli barangan keperluan dan ia akan memanfaatkan peniaga-peniaga kecil, pasar raya besar dan sektor-sektor ekonomi lain,” kata beliau.