Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > Cubaan Singkir Pasukan Tidak Sehaluan Dengan Anwar

Cubaan Singkir Pasukan Tidak Sehaluan Dengan Anwar

KUALA LUMPUR, Naib Presiden PKR, Zuraida Kamaruddin tidak menolak kemungkinan tindakan siasatan Lembaga Disiplin PKR terhadap ahli dan pemimpin kanan parti itu termasuk dirinya sebagai cubaan jahat untuk menyingkirkan ‘pasukan’ yang didakwa tidak sehaluan dengan Presiden parti, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu turut kecewa dengan sikap Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail kerana mendahului Lembaga Disiplin apabila mengeluarkan kenyataan beliau disiasat pihak berkenaan.

“Saya kecewa dengan sikap Setiausaha Agung yang mendahului Lembaga Disiplin seperti lebih kuah daripada mangkuk.

“Jika benar (sedang disiasat) saya serahkan kepada Lembaga Disiplin untuk menjalankan tugas dengan adil dan insya-Allah saya akan memberi kerjasama.

“Mungkin (ada cubaan jahat itu),”dipetik sebagai berkata.

Ahli Parlimen Ampang itu berkata, beliau tidak dimaklumkan mengenai siasatan disiplin itu walaupun ada menghadiri mesyuarat Biro Politik PKR, malam kelmarin.

Lembaga Disiplin PKR dilapor memulakan siasatan pelbagai laporan salah laku membabitkan ahli dan pemimpin kanan parti itu termasuk Zuraida berkait insiden ketika dan selepas Kongres Nasional PKR 2019 di Melaka, bulan lalu.

Pengerusinya, Datuk Ahmad Kassim, dilaporkan berkata, siasatan menjurus insiden yang berlaku sebelum atau selepas kongres.

Antara insiden besar ketika kongres berkenaan ialah pergaduhan menyebabkan kecederaan ahli ketika Kongres AMK 2019 dan tindakan beberapa pemimpin kumpulan Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali memboikot hari terakhir kongres.

Bagaimanapun, Naib Presiden PKR, Tian Chua, hadir pada hari terakhir persidangan.

Kumpulan Mohamed Azmin mengadakan majlis makan malam Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 di ibu negara pada hari sama, dengan ucapan beberapa pemimpin mengkritik keras pimpinan termasuk Anwar.

Leave a Reply

Top