MH Online

Laman Suara Rakyat

Conte Tolak Tekanan Untuk Istihar Darurat

Conte Tolak Tekanan Untuk Istihar Darurat

Perdana Menteri Itali, Giuseppe Conte, menolak tekanan mengisytiharkan perintah berkurung nasional baharu walaupun kadar jangkitan COVID-19 meningkat secara mendadak kerana mungkin menjejaskan lagi ekonomi yang sudah merudum.

Sebaliknya, beliau mengesyorkan pendekatan berdasarkan wilayah di mana hanya kawasan yang teruk terjejas dikenakan perintah berkurung lebih ketat.

“Di seluruh negara, kerajaan hanya mengambil langkah terhad bagi mengukuhkan usaha pencegahan dan mitigasi virus ini.

“Saya minta semua penduduk Itali bersabar dan bersama-bersama kita bersatu mengatasi tragedi ini,” katanya.

Berdasarkan laporan setakat ini, Conte difahamkan akan melaksanakan perintah berkurung di seluruh negara selepas jam 9 malam waktu tempatan, yang kini dibincangkan lebih lanjut.

Beliau menghadapi tekanan hebat di Parlimen, dengan pakar kesihatan menegaskan perintah berkurung nasional perlu dilaksanakan segera dan pemimpin setempat menolaknya manakala peniaga menuntut pampasan kerana hilang pendapatan.

Tunjuk perasaan turut diadakan di beberapa bandar di serata Itali dengan ada yang bertukar ganas berikutan rakyat semakin kecewa dengan kesan pandemik virus itu.

Antara langkah mengekang penularan COVID-19 yang disyorkan Conte semalam termasuk pengurangan kadar penumpang pengangkutan awam sehingga 50 peratus dan penutupan premis perniagaan pada hujung minggu.

Sementara itu, muzium ditutup sepenuhnya dan semua sesi persekolahan dijalankan secara dalam talian.

Conte juga mengesyorkan sistem tahap amaran tiga peringkat di mana kawasan berisiko tertinggi akan dikenakan larangan perjalanan dan langkah kawalan lain.

Namun, kadar jangkitan di Itali terus meningkat dengan ketara dan kini menghampiri 30, 000 kes sehari, lebih tinggi daripada United Kingdom (UK) tetapi masih rendah berbanding Perancis. – AFP