Kumpulan CIMB, penaja utama kejohanan golf berprestij CIMB Classic, pada Selasa mengumumkan lanjutan kontrak untuk empat tahun lagi sehingga 2020.

Menurut Ketua Eksekutif Kumpulan, Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz, lanjutan kontrak empat tahun itu mencerminkan kejayaan acara Piala FedEX Jelajah PGA itu di rantau ini.

“CIMB Classic meletakkan Malaysia pada kedudukan yang kukuh dalam kalendar Jelajah PGA dan kami gembira untuk meneruskan tajaan ini.

“Kejohanan ini semakin kukuh dari setahun ke setahun sejak enam tahun lepas…ia terus mencetuskan minat dan kami akan memberikan pengalaman yang luar biasa kepada pemain dan peminat,” kata Tengku Zafrul dalam sidang media di sini, rabu.

Turut hadir, Pesuruhjaya Jelajah PGA, Tim Finchem.

Kejohanan yang diadakan sejak 2010 itu mendapat pengiktirafan bersama Jelajah Asia dan Persatuan Golf Profesional Malaysia, sebelum ini dikenali sebagai CIMB Asia Pacific Classics Malaysia.

Ia kemudian disenaraikan sebagai kejohanan Piala FedEx pada 2013.

Hadiah keseluruhan US$7 juta (RM28.7 juta) ditawarkan untuk kejohanan tahun ini yang akan diadakan di Kelab Golf  and  Country Bukit Kiara, di sini dari 20-23 Okt.

Seperti kejohanan terdahulu, ia akan membariskan 78 pemain termasuk dua pemain Malaysia yang layak menerusi pertandingan kelayakan nasional.

“Setakat ini, kami kekal dengan dua pemain negara tetapi tahun lepas, tiga wakil Malaysia beraksi, dua daripada pusingan kelayakan dan Danny Chia, yang merupakan pemain terbaik negara dalam ranking dunia yang mendapat pengecualian penaja.

“Sudah tentu kita mahu melihat lebih ramai pemain Malaysia beraksi dalam kejohanan ini. Mungkin dua Olimpian negara (Chia dan Gavin Kyle Green) mampu menambah seri kejohanan ini,” kata Tengku Zafrul.

Kejohanan itu pernah menarik penyertaan pemain profesional berkelas dunia seperti Tiger Woods, Henrik Stenson, Adam Scott, Sergio Garcia, Ernie Els dan Ryo Ishikawa.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *