Anda di sini!
Utama > Sukan > Chong Wei Masih Tunggu ‘Lampu Hijau’

Chong Wei Masih Tunggu ‘Lampu Hijau’

KUALA LUMPUR, Jurulatih perseorangan lelaki negara, Hendrawan mengakui anak didiknya, Datuk Lee Chong Wei ‘berperang’ dengan masa bagi membuat persiapan layak ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Dengan Chong Wei masih belum mendapat ‘lampu hijau’ untuk menjalani latihan 100 peratus daripada doktor yang merawatnya selepas disahkan bebas daripada kanser hidung yang dihidapinya, Hendrawan berkata dia perlu memantau keadaan pemain itu.

Pemantauan rapi itu perlu dilakukan tempoh satu atau dua bulan lagi sebelum merangka program dalam misi layak ke Tokyo.

Selepas enam bulan berehat bagi menjalani rawatan kanser hidungnya dihidapinya sejak Julai lalu, ranking Chong Wei jatuh ke tangga ke-28 dunia dan dijangka terus menjunam sehinggalah pemain itu kembali beraksi dalam saingan kompetitif.

Bagaimanapun, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) sudah mengambil langkah segera apabila memohon perlindungan ranking daripada Persekutuan Badminton Dunia (BWF) pada Ogos lalu, yang menyaksikan dia boleh terus ke undian utama dalam kejohanan utama Jelajah Dunia BWF yang mahu disertainya.

Ketika permohonan dibuat, Chong Wei menghuni kedudukan ranking nombor tiga dunia.

Kelayakan ke Olimpik Tokyo 2020 akan bermula secara ramsi pada 1 Mei depan.

“Kedudukan ranking bergantung kepada penyertaan dalam kejohanan dan keputusan yang dihasilkan. Secara jujurnya, memang kita semakin kesuntukan masa untuk melakukan persiapan bagi menghadapi Olimpik.

“Namun, saya tidak boleh terburu-buru dalam membuat sebarang keputusan. Saya perlu melihat kepada keadaan Chong Wei kerana doktor hanya membenarkan dia menjalani latihan sebanyak 30 peratus.

“Jadi, buat masa ini saya perlu sesuaikan latihan dengan keadaannya.

“Mungkin dalam tempoh sebulan lagi, kita akan bincang lebih lanjut mengenai program latihan dan penyertaan dalam kejohanan…apa pun, saya gembira apabila Chong Wei sudah kembali berlatih di gelanggang,” kata Hendrawan.

Semalam, Chong Wei secara rasmi kembali berlatih di gelanggang buat kali pertama dan dia menghabiskan masa kira-kira sejam setengah menjalani latihan sebelum menghabiskan masa selama sejam lagi dengan latihan di gimnasium.

Hendrawan mengakui selepas enam bulan tidak berlatih, anak didiknya itu yang juga pemenang pingat perak Olimpik tiga kali agak ‘keras’ ketika menggunakan raket.

“Sudah lama tidak pegang raket, kelihatan agak keras. Namun, ia perkara biasa dan saya pasti lama-lama nanti akan ok. Untuk pemain seperti Chong Wei, kemahirannya tidak akan hilang cuma dia perlukan masa untuk kembali seperti biasa.

“Apa yang paling penting sekarang adalah keingginannya untuk kembali. Ia adalah petanda yang cukup positif,” kata Hendrawan.

Leave a Reply

Top