Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > China Sumbang 100,000 Topeng Muka

China Sumbang 100,000 Topeng Muka

KUALA LUMPUR, Jawatankuasa Kerja Keselamatan Wilayah Persekutuan menerima sumbangan 100,000 topeng muka daripada kerajaan China, hari ini.

Sumbangan itu diserahkan Duta Besar China ke Malaysia, Bai Tian, kepada Menteri Wilayah Persekutuan yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kerja Keselamatan Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa.

Annuar berkata, sumbangan topeng muka itu mampu memanfaatkan lebih 6,000 petugas barisan hadapan di Wilayah Persekutuan untuk kira-kira 20 hari akan datang.

Jelasnya, sumbangan itu juga simbolik menggambarkan perang melawan COVID-19 ketika ini, adalah usaha bersama seluruh masyarakat tanpa mengira sempadan negara.

“Untuk Wilayah Persekutuan, kita perlukan sekurang-kurangnya 6,000 topeng muka setiap hari untuk digunakan 1,500 anggota polis, 1,500 anggota tentera, 2,000 penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) serta sejumlah anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan Angkatan Pertahanan Awam (APM).

“Kita berterima kasih atas sumbangan ini. Pada masa sama, kerajaan Malaysia membelinya dalam jumlah besar dan kita ada bekalan mencukupi.

“Apa yang penting ialah kita nak pastikan semua petugas barisan hadapan sentiasa memiliki kelengkapan perlindungan diri (PPE), khususnya yang bertugas dalam kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD),” katanya kepada pemberita di Menara DBKL 1 di sini, hari ini.

Annuar berkata, pihaknya bercadang mengagihkan topeng muka secara percuma kepada pekerja di Pasar Borong Kuala Lumpur di Selayang, yang kembali beroperasi hari ini.

“Kita difahamkan ada antara mereka yang tidak beli atau menggunakan topeng muka yang tidak memenuhi kriteria Kementerian Kesihatan (KKM) hampir setiap hari.

“Kita akan beri secara percuma. Sudah tentu keutamaan adalah kepada petugas barisan hadapan, dan bakinya kita beri pada orang awam, terutama pekerja pasar borong,” katanya.

Leave a Reply

Top