Anda di sini!
Utama > Luar Negara > China Nafi Mencuri Penyelidikan Pembangunan Vaksin Covid 19

China Nafi Mencuri Penyelidikan Pembangunan Vaksin Covid 19

China hari ini menuduh Amerika Syarikat (AS) memburuk-burukkan negara tembok besar itu apabila Washington mendakwa penggodam Beijing cuba mencuri penyelidikan mengenai pembangunan vaksin COVID-19.

Dakwaan itu sekali gus membuakkan ketegangan antara dua kuasa besar dunia yang selalu berkelahi mengenai pandemik itu yang kini sudah membunuh 300,000 orang.

Semalam, pihak berkuasa AS memaklumkan bahawa penggodam China cuba memperoleh data coronavirus mengenai rawatan dan vaksin sambil mengeluarkan amaran berhubung usaha membabitkan kerajaan negara tembok besar itu dengan pihak bersekutu dan lain-lain.

Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) dan pihak Keselamatan Siber serta Agensi Keselamatan Infrastruktur menegaskan, usaha China mencerminkan satu ancaman signifikan kepada respon AS terhadap COVID-19.

Jurucakap Kementerian Luar, Zhao Lijian, berkata China meluahkan ketidakpuasan hati yang kuat dan membangkang dengan tegas terhadap dakwaan memburuk-burukkan itu.

“Menilai daripada rekod terdahulu, AS telah menjalankan operasi terhadap kecurian siber terbesar di seluruh dunia,” katanya pada sidang media.

Beliau menegaskan, Beijing memiliki pencapaian signifikan dalam melawan pandemik itu.

Menurut Lijian, China juga mendahului dunia dalam penyelidikan vaksin COVID-19 dan rawatan serta mereka ada hak untuk bimbang mengenai pengintipan siber.

Tambahnya, negara itu telah menidakkan kegiatan godam siber dan setiap serangan siber yang menghalang perang global melawan pandemik itu harus dikutuk oleh warga dunia.

Mengulas mengenai kenyataan Presiden AS, Donald Trump yang merujuk COVID-19 sebagai ‘wabak dari China’, Lijian menegaskan negara Uncle Sam itu harus berhenti menyalahkan dan mencemarkan nama baik pihak lain.

Sebaliknya, beliau menegaskan, AS patut fokus terhadap usaha mengekang dan mengawal pandemik itu.

COVID-19, adalah wabak yang pertama kali wujud di Wuhan, China pada hujung tahun lalu. – AFP

Leave a Reply

Top