MH Online

Laman Suara Rakyat

Cermin Diri Sendiri – KJ

PUTRAJAYA, Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin mengesa Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang dan anaknya, Lim Guan Eng cermin diri, sebelum melabelkannya ‘double standard’ berikutan tindakan mengarahkan wartawan portal berita meninggalkan majlis sidang medianya, semalam.

Khairy menegaskan jawapannya kepada Kit Siang mudah, iaitu jangan mempersoalkan tindakannya kerana pemimpin pembangkang itu dan anaknya yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang juga pernah berbuat demikian.

Ketua Pemuda UMNO itu menegaskan Kit Siang dan Guan Eng juga pernah menghalang dan menghalau wakil media terutama wartawan Utusan Malaysia, TV3 dan Kumpulan Media Prima Berhad (MPB) dari menghadiri sidang medianya di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang kerana tidak setuju dengan berita disiarkan.

“Suatu ketika dulu kita sering dengar ada wartawan Utusan Malaysia, TV3 dan akhbar terbitan MPB tidak dibenarkan menghadiri sidang media di DUN Pulau Pinang. Jadi, sekarang siapa sebenarnya yang ‘double standard’ (pilih bulu). Kenapa hanya tegur saya, tapi anaknya sendiri (Guan Eng) buat tidak mengapa. Saya buat tidak boleh.

“Saya tidak mahu mengulas panjang kerana memang jelas bahawa saya memang ada pilih bulu tetapi saya minta pegawai saya meminta wartawan itu meninggalkan majlis secara terhormat dan sopan santun. Bukan seperti dia (Kit Siang) yang menjerit kepada wakil TV3 dan Utusan Malaysia yang dia tidak suka.

“Saya tidak mahu berbuat demikian kerana takut mengaibkan mana-mana pihak sekiranya mengarahkan wakil media meninggalkan majlis berkenaan secara tidak sopan,” katanya pada sidang media selepas Program Kapal Belia Asia Tenggara dan Jepun kali ke-44, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Khairy berkata, tujuan utama pengawainya mengarahkan wakil portal berita berkenaan meninggalkan majlis berkenaan bagi memastikan sidang media itu berjalan lancar, namun kenyataannya diputar belit oleh Malaysiakini.

“Saya berbuat demikian selepas mendapati portal berita berkenaan sering kali melaporkan kenyataan saya secara tidak tepat dan memetik bahagian tertentu sahaja.

“Saya tiada masalah pun dengan portal lain seperti Free Malaysia Today atau Malaysian Insight kerana mereka boleh tulis apa saja dan saya tidak akan meminta portal berkenaan disekat aksesnya.

“Bagaimanapun, saya berhak menentukan wartawan mana boleh menghadiri majlis sidang media kerana itu hak saya. Mereka juga boleh memetik laporan dari media lain seperti BERNAMA jika tidak boleh menghadiri sidang media saya nanti,” katanya.