Anda di sini!
Utama > Ekonomi > CEO CGC Dipilih CEO Cemerlang 2018

CEO CGC Dipilih CEO Cemerlang 2018

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Credit Guarantee Corporation Malaysia Bhd (CGC) Datuk Mohd Zamree Mohd Ishak telah dipilih sebagai  ‘Ketua Pegawai Eksekutif Cemerlang 2018’ oleh Persatuan Institusi Kewangan dan Pembangunan di Asia serta Pasifik (ADFIAP).

CGC, yang 78.65 peratus dimiliki Bank Negara Malaysia, dalam satu kenyataan hari ini berkata anugerah tersebut mengiktiraf sumbangan Zamree dalam memperjuangkan agenda kewangan negara yang inklusif bagi perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan transformasi CGC menerusi pelan strategik lima tahun (2016-2020).

Menurut kenyataan itu, Zamree juga mendapat penghargaan atas kejayaan CGC dalam menyusun semula  landskap pembiayaan PKS dengan menerajui platform pembiayaan/rujukan pinjaman PKS dalam talian pertama Malaysia yang dikenali sebagai imSME.

“Saya ingin merakamkan ucapan ribuan terima kasih kepada Pengerusi dan para Pengarah CGC atas bimbingan mereka dan rakan-rakan sekerja di CGC atas sokongan mereka. Pujian juga harus diberikan kepada mereka,” katanya.

Anugerah itu disampaikan kepada beliau pada Selasa di malam gala dan anugerah bersempena dengan mesyuarat tahunan ADFIAP Ke-41 di New Delhi, yang dihadiri lebih 130 delegasi daripada institusi ahlinya.

Zamree menyandang jawatannya sekarang di CGC pada 1 Jan, 2015.

CGC berkata di bawah pimpinan beliau, identiti korporat dan perniagaan CGC telah melalui transformasi sejajar dengan aspirasinya untuk menjadi jenama terkemuka bagi PKS menjelang 2020.

Leave a Reply

Top