MH Online

Laman Suara Rakyat

Celcom Bantu Perkasa Usahawan PKS

Celcom Bantu Perkasa Usahawan PKS

Celcom Axiata Bhd (Celcom) melancarkan kempen Celcom Business: Reimagine SME for Tomorrow untuk menyediakan rangkaian perniagaan digital kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Idham Nawawi berkata, kempen yang dijangka berlangsung hingga hujung tahun ini itu menyediakan bantuan kewangan, pembangunan kemahiran dan peluang peningkatan hasil bagi PKS tempatan.

Katanya, PKS yang menyertai kempen berkenaan berpeluang memperkasa perniagaan mereka dalam platform pemasaran digital dan menjana pendapatan baharu.

“Sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) trafik internet bertambah antara 30 hingga 35 peratus terutamanya dalam penggunaan Facebook yang melebihi penggunaan YouTube.

“Lebih 50 peratus daripada trafik internet di Malaysia adalah menerusi penggunaan Facebook dan YouTube, jadi amat merugikan jika PKS tempatan tidak memanfaatkan dua platform ini,” katanya pada majlis pelancaran kempen berkenaan di Kuala Lumpur semalam.

Hadir sama, Ketua Pegawai Operasi Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Datuk Ng Wan Peng dan Ketua Pegawai Perniagaan Perusahaan Celcom, Azlan Zainal Abidin.

Dalam pada itu, Idham berkata, Celcom juga akan menjalin kerjasama dengan 13 organisasi untuk membantu peniaga bangkit dalam tempoh pemulihan koronavirus (Covid-19).

Menurutnya, 13 organisasi yang akan bekerjasama dengan Celcom ialah MDEC, Majlis Amanah Rakyat (Mara), SME Corporation, Bank Simpanan Nasional, Alliance Bank dan lain-lain.

Tambahnya, Celcom juga dalam usaha untuk menjalin kerjasama dengan lebih banyak organisasi termasuk agensi kerajaan, institusi kewangan, persatuan keusahawanan dan rakan teknologi dalam memacu adaptasi digital PKS.