Anda di sini!
Utama > Sukan > Cazorla Kecewakan Real

Cazorla Kecewakan Real

Real Madrid membuat permulaan mengecewakan tahun ini apabila terikat 2-2 dengan kelab sedang bergelut, Villarreal, pagi tadi dan makin jauh ketinggalan tujuh mata di belakang peneraju La Liga, Barcelona.

Perancang tengah Villarreal, Santi Cazorla menghadiahkan tuan rumah jaringan pembukaan seawal minit keempat, dalam perlawanan yang dijadualkan semula kerana komitmen Real terhadap Piala Dunia Kelab, bulan lalu.

Juara Eropah itu kembali mengikat aksi tiga minit kemudian hasil tandukan Karim Benzema, sebelum Raphael Varane menjadikan kedudukan 2-1.

Namun, ia menyaksikan Cazorla yang baharu kembali ke Sepanyol dalam usaha menghidupkan semula kariernya yang terjejas di Arsenal, ekoran masalah kecederaan memastikan tuan rumah membawa pulang satu mata berharga.

Perancang tengah kreatif berusia 34 tahun itu menyelinap masuk ke dalam kotak penalti untuk melepaskan rembatan gol pada minit ke-82, untuk menghadiahkan mata penting buat pengendali baharu, Luis Garcia dalam aksi pertamanya di laman sendiri.

Malah, keputusan itu turut menyaksikan Real terus gagal memenangi perlawanan awal tahun di tempat lawan sejak 2014, selain penyudah Cazorla turut menafikan peluang mereka mengikat mata dengan Sevilla, untuk kekal di kedudukan keempat.

“Ia adalah keputusan yang adil, kami memburu kemenangan dan sudah hampir dengannya, kami mahu membunuh perlawanan dan mereka terus memberi tekanan ketika kelebihan sebagai tuan rumah memihak kepada mereka,” kata pengendali Real, Santiago Solari.

“Apabila Gareth (Bale) dikeluarkan, kami kehilangan taring di depan, kami mempunyai peluang untuk menjaringkan beberapa gol tetapi jentera serangan kami tampak kehilangan punca.”

Villarreal yang mara ke peringkat 32 terakhir Liga Europa walaupun mengalami nasib buruk dalam La Liga, memanjat keluar dari zon penyingkiran ke kedududkan ke-17, berkongsi 18 mata bersama pasukan tangga ke-18, Athletic Bilbao.

“Keputusan ini diharap akan memberi motivasi kepada kami,” kata jurulatih Villarreal, Garcia yang sudah mengutip dua mata daripada dua perlawanan sejak menggantikan Javi Calleja. – REUTERS

Leave a Reply

Top