MH Online

Laman Suara Rakyat

‘Cari BBBNU Kerana Mahu Lahirkan Pelapis’

Penyanyi dan komposer, Ajai, 42, akui tindakannya mencari pelapis baharu bertujuan mengikut aliran terkini demi memeriahkan industri muzik.

Ajai atau nama sebenarnya, Mohd Faizal Maas berkata, usahanya menjejaki bakat remaja digelar ‘Budak-Budak Baru Nak Up’ (BBBNU) bukan kerana kecewa dengan prestasi artis naungan syarikatnya, Wake The Baby, tetapi bagi melahirkan pelapis.

“Saya tidak mahu industri dikaburi dengan budak-budak yang tak berbakat. Apa yang saya buat ini adalah untuk membantu industri bagi melahirkan generasi yang betul-betul boleh menyanyi.

“Saya nak budak-budak baru ini tahu ilmu nyanyian yang betul. Bukan sekadar boleh menyanyi, sebaliknya tahu apa itu muzik dan apa yang pendengar mahu,” dipetik sebagai berkata.

Melihat kepada industri muzik ketika ini umpama bahan jenaka dengan kemunculan penyanyi ‘mi segera’ yang hanya boleh menyanyi, Ajai mahu memperbetulkan tanggapan itu.

Mahu melihat industri muzik tempatan teratur dengan kehadiran ramai penyanyi yang ada kredibiliti dan ilmu dalam seni suara, apa yang dilakukannya adalah membantu industri dipandang tinggi.

“Saya buka tawaran selama seminggu di Instagram. Alhamdulillah, saya sudah terima beribu-ribu email daripada mereka yang berminat. Saya akan lanjutkan tempoh pencarian ini hingga sebulan.

“Selepas ini, saya akan pilih antara 25 hingga 28 orang remaja yang benar-benar berbakat. Saya akan latih penyanyi solo dan mewujudkan dua kumpulan penyanyi lelaki dan wanita.

“Ini kerana sekarang ini kita kekurangan penyanyi berkumpulan seperti era 1990-an,” katanya.

BH Online