MH Online

Laman Suara Rakyat

Caprice Akhirnya Mohon Maaf

Caprice Akhirnya Mohon Maaf

Penyanyi, Caprice, 32, yang mencetuskan kontroversi membabitkan misi kemanusiaan membantu rakyat Gaza di Palestin, hari ini memohon maaf kepada pembesar, pemimpin dan seluruh rakyat Malaysia.

Caprice atau nama sebenar, Ariz Ramli memohon maaf atas kesilapan dan mengaku segala-gala yang berlaku adalah kekhilafan diri.

“Saya mohon minta maaf atas kesilapan saya.

“Saya terlalu emosi mengenai pejuang kita demi ummah, Palestin dan rakyat Malaysia. Apa yang berlaku adalah kesilapan Caprice dan tidak terbabit pihak lain.

“Caprice juga minta maaf kepada ibu dan ayah kerana membuatkan mereka risau mengenai keselamatan diri.

“Caprice sayang kamu dan niat Caprice memilih haluan sendiri sejak usia 16 tahun adalah tidak lain, hanya mahu membuat kamu bangga.

Caprice mengaku segala yang berlaku adala kesilapan sendiri dan memohon maaf kepada semua rakyat Malaysia.

“Minta maaf kepada Malaysia dan rakyat negara ini,” katanya dalam entri dimuat naik di Instagram (IG), pagi tadi.

Melalui hantaran itu, Caprice juga merakamkan penghargaan kepada individu yang banyak membantunya menjayakan misi berkenaan.

“Terima kasih kepada Menteri Kanan Luar Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, Kedutaan Malaysia di Mesir dan kerajaan Mesir atas layanan, sokongan dan perlindungan keselamatan 24 jam selama saya di Mesir,” katanya.

Caprice juga berterima kasih kepada Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim yang membawanya menyertai misi kemanusiaan di Palestin melalui Humanitarian Mission 4 Palestine (HM4P).

“Kepada semua ahli HM4P, pasukan Persatuan Bantuan Perubatan Malaysia (MERCY Malaysia) dan media di Mesir, terima kasih kerana menjadi abang saya dan membantu selama 30 hari ini,” katanya.

Caprice memberitahu, dia akan akan pulang ke tanah air selepas menyelesaikan semua urusan serta melunaskan janjinya kepada rakyat Palestin.