MH Online

Laman Suara Rakyat

Calon AIDS Lulus Ujian Awal

Selepas hampir 40 tahun mencari vaksin AIDS, saintis mengumumkan semalam bahawa sejenis ubat percubaan akhirnya berjaya mencetus maklum balas imun pada manusia dan melindungi monyet daripada jangkitan.

Dilihat sebagai selamat untuk manusia, calon vaksin itu kini memasuki fasa seterusnya iaitu proses percubaan pra-kelulusan dan akan diuji pada 2,600 wanita di Afrika selatan untuk melihat sama ada ia menghalang jangkitan HIV.

Walaupun keputusan setakat ini menggalakkan, pasukan penyelidik dan pakar luar memberi amaran tiada jaminan HVTN705 atau Imbokodo yang bermaksud batu dalam bahasa Zulu akan berfungsi dalam fasa percubaan seterusnya.

“Walaupun data ini agak meyakinkan, kita perlu berhati-hati,” kata ketua kajian, Dan Barouch, profesor di Sekolah Perubatan Harvard, kepada AFP.

“Hanya kerana ia melindungi dua pertiga monyet ketika percubaan makmal, tidak bermakna ubat itu akan melindungi manusia. Kita perlu menunggu hasil kajian sebelum tahu apakah vaksin ini akan melindungi manusia dari jangkitan HIV,” katanya.

Keputusan percubaan Imbokodo dijangka akan diperoleh pada 2021 atau 2022.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), dianggarkan 37 juta orang hidup dengan HIV/AIDS. Terdapat kira-kira 1.8 juta jangkitan baru dan satu juta kematian dicatatkan setiap tahun.

Dianggarkan hampir 80 juta orang dijangkiti sejak virus itu di diagnosis pada awal 1980-an. Kira-kira 35 juta maut akibatnya.

Buat masa ini, mereka yang dijangkiti HIV bergantung kepada rawatan anti-retroviral (ART) yang menghalang virus sepanjang hayat untuk kekal sihat. – AFP