MH Online

Laman Suara Rakyat

California Diistihar Darurat

California Diistihar Darurat

Gabenor California, Gavin Newsom mengisytiharkan darurat di negeri itu semalam berikutan kebakaran semakin marak akibat angin kencang yang turut memaksa penduduk berpindah dan menyebabkan gangguan bekalan elektrik.”Kami mengerah segala sumber yang ada dan bekerjasama dengan pelbagai agensi bagi menangani kebakaran tersebut.

“Adalah penting bagi penduduk dalam zon pemindahan mematuhi amaran pihak berkuasa dan mempunyai bantuan yang mereka perlukan,” kata Newsom dalam satu kenyataan.

Menurut pasukan bomba, kebakaran dikenali dengan nama Kincade Fire itu merebak sehingga 12,000 hektar dan cuma 10 peratus kebakaran berjaya dikawal menjelang tengah hari semalam.

Kebakaran terburuk di California yang bermula Rabu lalu dan merebak cepat berikutan angin kencang selaju 145 kilometer sejam itu telah memusnahkan berpuluh kediaman dan kilang wain termasuk kilang wain Soda Rock Winery dibina pada tahun 1869.

Sementara itu, sekurang-kurangnya dua buah hospital di Santa Rosa terpaksa memindahkan pesakit mereka ke hospital lain.

Dilaporkan lebih 3,000 anggota bomba dibantu helikopter bertungkus-lumus memadamkan kebakaran yang dijangka tidak dapat dibendung sebelum 7 November. – AFP