Siapa sangka di sebalik kedengaran kelunakan suara Siti Huraizah Ruslan ketika mengacara sebuah majlis, gadis dari Kelantan ini sebenarnya cacat penglihatan sejak berumur tujuh tahun.

Siti Huraizah, 34, yang menghidapi trakoma iaitu sejenis penyakit mata, pasrah dengan ketentuan Illahi dan sentiasa tabah dalam menjalani kehidupan seperti biasa.

Anak sulung daripada empat beradik itu berkata keluarganya telah menghabiskan puluhan ribu ringgit bagi mengubatinya namun gagal, dan menurut doktor yang merawatnya, trakoma bukan sejenis penyakit biasa yang dihidapi ramai.

“Kecacatan ini bagaimanapun tidak menghalang saya daripada melalui detik-detik berharga dari kecil, remaja sehinggalah saya menjadi graduan dalam bidang penulisan skrin,” kata bekas pelajar Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam itu.

Kelibat beliau menjadi perhatian ramai termasuk Bernama apabila menjadi pengacara majlis sambutan ulang tahun ke-65 Persatuan Bagi Orang Buta Malaysia (MAB) di Kompleks MAB di sini baru-baru ini.

Dengan wajah yang tidak lekang dengan senyuman, lenggok suara Siti Huraizah amat sesuai dan boleh diibaratkan sebagai pengacara profesional.

Katanya, ia merupakan satu kelebihan bagi individu sepertinya, dan justeru acap kali dipanggil untuk mengacarakan program sejak zaman persekolahan lagi.

“Saya memang minat bidang pengacaraan, masa di universiti ada diajar silibus ini dan selalu dapatkan maklumat tambahan melalui pembacaan dan pendengaran,” katanya kepada Bernama.

Uniknya, beliau menggunakan teks ucapan Braille semasa mengacarakan majlis tanpa rasa gentar mahupun salah tutur.

Bertugas sebagai Eksekutif Bahagian Aksesibiliti dan Advokasi MAB, beliau perlu berjumpa dengan ramai orang serta menyifatkannya sebagai satu ‘latihan’ berterusan agar yakin terhadap diri sendiri.

“Tuntutan kerja saya termasuk mengaudit dan mengakses bangunan-bangunan bagi kebolehaksesan individu cacat penglihatan. Kami (MAB) turut mengakses projek Transit Aliran Massa (MRT) dan Terminal Bersepadu Selatan,” katanya.

Menurut Siti Huraizah, rutin harian beliau kini diisi dengan sesi pengajaran kepada bakal pramugara dan pramugari AirAsia, iaitu sesi teori dan praktikal selama sejam.

“Mereka terdiri daripada warganegara India, Filipina, Thailand dan Singapura, dan bidang tugas mengajar itu tertumpu kepada pengajaran mengenai cara-cara mengendalikan penumpang pesawat yang cacat penglihatan,” katanya.

Beliau yang turut memiliki kediaman sendiri juga berharap agar insan-insan istimewa sepertinya tidak mudah berputus asa dan sentiasa berusaha untuk meningkatkan taraf hidup tanpa bergantung sepenuhnya kepada orang lain.

 

BERNAMA

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *