MH Online

Laman Suara Rakyat

Cabaran Dihadapi Pengamal Media Ketika Covid 19

Cabaran Dihadapi Pengamal Media Ketika Covid 19

KUALA LUMPUR, Pandemik COVID -19 telah memberi impak kepada rutin pekerjaan secara umum dan norma baharu kini menjadi satu cara hidup kepada ramai pekerja di serata dunia,

termasuk pengamal media.

Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Suhaimi Sulaiman, berkata sekurang-kurangnya terdapat lapan cabaran dihadapi pengamal media ketika pandemik itu, termasuk kali pertama COVID-19 muncul, ramai yang tidak tahu mengenainya.

Pertama, beliau berkata ahli panel kesihatan atau pakar memainkan peranan penting untuk laporan media kerana mereka boleh membantu wartawan mengumpul dan menentusahkan data serta maklumat dengan pantas.

“Operasi media perlu pantas, tepat, bertanggungjawab untuk sebarang laporan yang kami buat. Jika pada ketika COVID-19 muncul sudah ada ahli panel atau pakar membantu kami, ia memang bagus tetapi pada masa itu tiada, jadi kami perlu bekerja keras mendapatkan maklumat,” katanya.

Beliau berkata, sekiranya ada papan pemuka, badan atau organisasi yang muncul dengan satu senarai pakar yang boleh dihubungi dalam 24 jam, ia amat membantu kerana masalah ini bukan dihadapi satu atau dua negara tetapi dihadapi di seluruh dunia.

“Media memerlukan seorang pakar daripada zon masa yang berbeza untuk memastikan mereka meminimumkan risiko data tidak ditentusahkan dan tafsiran yang silap,” katanya dalam satu Webinar Mengenai Kewartawanan Kesihatan anjuran Institut Pembangunan Penyiaran Asia-Pasific (AIBD), semalam.

Suhaimi, salah seorang daripada ahli panel, berkata ketika krisis kesihatan seperti pandemik ini, pakar dan saintis perlu berubah dan mampu bercerita dengan baik kerana kebanyakanya didapati menyampaikan maklumat seperti mereka bercakap dengan rakan yang setara dengan mereka.

“Satu penyelesaiannya ialah menjadikan idea yang kompleks ini mudah dan ringkas untuk segmen populasi yang berbeza. Ini boleh dilakukan menerusi infografik dan meringkaskan terma serta istilah.

“Bagaimanapun, wartawan juga bertanggungjawab untuk meningkatkan pengetahuan mereka supaya mereka memahami isu, dalam kes krisis pandemik ini dan istilah perubatan seperti R-Naught, meratakan lengkung dan lain-lain boleh disampaikan dengan tepat kepada khalayak ramai,” katanya.

Beliau berkata, media memerlukan sebuah papan pemuka yang baik selain daripada bertindak balas terhadap cabaran untuk mendapatkan sumber dan laporan mengenai topik berkaitan pandemik, seperti penjarakan sosial serta budaya dan persekitaran baharu.

Katanya, cabaran hebat yang lain kepada media dalam keadaan krisis seperti ini ialah penyebaran berita palsu.

Suhaimi berkata, dalam konteks media dan wartawan Malaysia, mereka bertuah kerana mempunyai Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk menentusahkan maklumat.

“Kaedah pemberitaan juga adalah cabaran besar semasa pandemik. Media kini terpaksa mencari kaedah baharu untuk mendapatkan maklumat dan pada masa sama, mengekalkan penjarakan selamat serta protokol kesihatan,” katanya.

Suhaimi berkata, dalam hal ini, pandemik COVID-19 telah merevolusikan laporan media melalui persidangan video dan audio yang kini menjadi norma baharu dalam kaedah berita dilaporkan.

Katanya, kesalinghubungan dan teknologi yang hebat tiba-tiba mendapat permintaan yang tinggi.

“Pandemik ini telah membuka mata kepada media dan menjadikan mereka lebih bersedia untuk menghadapi krisis sama di masa hadapan,” katanya.

Sesi dua jam itu turut disertai panelis terkemuka, termasuk Pegawai Pendidikan Kesihatan, Institut Kesihatan Negara (NIH) Khairulnissa Abdul Kadir; Perunding Penulisan Sains Majalah Current Science India, KP Madhu dan Dr Emma Rhule dari United Nation University International Institute for Global Health.