Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > Bursa Malaysia Ditutup Tinggi

Bursa Malaysia Ditutup Tinggi

KUALA LUMPUR, Bursa Malaysia ditutup tinggi hari ini susulan aktiviti membeli saham berharga rendah di seluruh papan terutamanya bagi saham mewah.

Indeks utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 2.48 peratus atau 31.26 mata untuk ditutup kepada 1,291.14.

Indeks itu berlegar antara paras 1,271.34 dan 1,311.22 sepanjang hari dagangan.

Menurut seorang penganalisis teknikal, paras ketahanan FBM KLCI masih dilihat pada penanda aras 1,300 dengan paras sokongan pada 1,250.

Di keseluruhan pasaran, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 740 berbanding 167, manakala 246 kaunter tidak berubah, 865 tidak diniagakan dan 18 yang lain digantung.

Jumlah dagangan berjumlah 3.1 bilion saham bernilai RM2.16 bilion berbanding 2.80 bilion saham bernilai RM2.31 bilion pada Isnin.

Sementara itu, seorang penganalisis lain berkata, berdasarkan kepada amaun yang direkodkan daripada jumlah dagangan, aktiviti membeli saham berharga rendah di Bursa Malaysia didominasi oleh saham bersaiz kecil dan sederhana, menumpukan kepada kaunter berkaitan tenaga dan teknologi.

Pada penutup, indeks teknologi naik 7.79 peratus, manakala indeks tenaga meningkat sebanyak 6.65 peratus.

“Kaunter berkaitan tenaga paling teruk terjejas disebabkan penurunan mendadak harga minyak global. Pada masa ini, harga minyak melantun semula di atas paras AS$30 setong berbanding AS$26 setong pada Isnin,” katanya.

Mengenai prestasi KLCI, beliau berkata 20 daripada 30 saham ditutup tinggi apabila KLCI mencecah paras terendahnya dalam tempoh setahun, yang mencetuskan aktiviti membeli saham berharga rendah.

“Saham seperti Public Bank dan Tenaga Nasional mencatatkan aliran menurun sejak pertengahan Januari disebabkan aliran keluar penjualan,” katanya.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, kaunter perbankan menerajui kaunter untung dengan Public Bank meningkat RM1.34 kepada RM15.24, Hong Leong naik RM1.52 kepada RM14.22, Maybank menambah 18 sen kepada RM7.30, CIMB menokok 15 sen kepada RM3.44 dan RHB melonjak 28 sen kepada RM5.00.

Dalam kalangan kaunter cergas, saham berkaitan minyak dan gas meneruskan kenaikannya sejak pagi dengan Hibiscus naik 2.5 sen kepada 31 sen dan Sapura Energy meningkat setengah sen kepada 7.5 sen.

Kaunter teknologi juga mencatatkan peningkatan minat dengan Vortex dan Sanichi kedua-duanya disenaraikan sebagai diniagakan cergas.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 241.08 mata kepada 8,742.73, FBM 70 naik 345.83 mata kepada 9,698.73 dan Indeks FBM Emas Shariah menokok 142,88 mata kepada 9,471.12.

Indeks FBMT 100 meningkat sebanyak 231.13 mata kepada 8,689.24 dan FBM Ace naik 200.21 mata kepada 3,552.15.

Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik 2.19 mata kepada 97.32, Indeks Perladangan meningkat 103.48 mata kepada 5,834.18 dan Indeks Perkhidmatan Kewangan menambah 633.89 mata kepada 11,995.48.

Jumlah dagangan Pasaran Utama meningkat kepada 2.25 bilion bernilai RM1.99 bilion berbanding 2.17 bilion saham bernilai RM2.18 bilion pada Isnin.

Jumlah dagangan waran naik sedikit kepada 262.95 juta bernilai RM69.74 juta berbanding 261.65 juta unit bernilai RM67.60 juta.

Jumlah dagangan di Pasaran ACE meningkat hampir tiga kali ganda kepada 632.44 bernilai RM98.43 juta daripada 368.08 juta saham bernilai RM62.28 juta.

Produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 319.99 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (343.36 juta), pembinaan (197.68 juta), teknologi (318.52 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (78.31 juta), hartanah (177.91 juta), perladangan (40.19 juta), REIT (22.79 juta), dana tertutup (47,000), tenaga (586.87 juta), penjagaan kesihatan (39.62 juta), telekomunikasi dan media (57.22 juta), pengangkutan dan logistik (57.22 juta) dan utiliti (29.64 juta).

Leave a Reply

Top