Bukit Aman mengumumkan pertukaran 42 pegawai kanannya dengan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, (JSJK) Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani, berpindah ke Jabatan Sumber Strategik dan Teknologi Bukit Aman (StaRT).

Pertukaran ini susulan persaraan Pengarah StaRT pada masa ini, Datuk Seri Abdul Manan Mohd Hassan, pada 14 Oktober ini.

Jawatan Pengarah JSJK pula bakal diisi oleh Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Amar Singh Ishar Singh, manakala tempatnya bakal diisi oleh timbalannya, Datuk Mazlan Lazim.

Ketua Komunikasi Korporat Polis Diraja Malaysia (PDRM), Senior Asisten Komisioner Datin Asmawati Ahmad, berkata selaras dengan pertukaran itu, Datuk Mazlan Lazim, bakal dinaikkan pangkat sebagai Komisioner Polis.

“Selain itu, Timbalan Pengarah Pengurusan (Perkhidmatan/Perjawatan) Bukit Aman, Datuk Fatimah Abdul Hamid, bertukar sebagai Timbalan Pengarah (Perancangan Strategik) Jabatan Pencegahan Jenayah Komuniti dan Keselamatan Bukit Aman.

“Jawatan berkenaan sebelum ini disandang oleh Deputi Komisioner Omar Mammah yang dilantik sebagai Timbalan Ketua Polis Perak,” katanya dalam satu kenyataan malam tadi.

Katanya, Timbalan Ketua Polis Perak, Datuk Zainuddin Yaacob, akan dilantik sebagai Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur.

Beberapa pertukaran lain membabitkan Timbalan Pengarah Jenayah Sindiket, Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Saiful Azly Kamaruddin, yang dilantik sebagai Timbalan Pengarah Siasatan JSJK.

Tempatnya bakal diisi oleh Timbalan Ketua Polis Melaka, Datuk Ruslan Hassan, yang dinaikkan pangkat sebagai Deputi Komisioner.

Pertukaran dan kenaikan pangkat lain adalah membabitkan enam pegawai lain berpangkat Senior Asisten Komisioner (SAC); 18 pegawai berpangkat Asisten Komisioner (ACP) dan 10 pegawai berpangkat Superintendan.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *