Anda di sini!
Utama > Ekonomi > BSN-CGC Meterai Kerjasama Biaya Perusahaan Micro

BSN-CGC Meterai Kerjasama Biaya Perusahaan Micro

KUALA LUMPUR, Bank Simpanan Nasional (BSN) dan Credit Guarantee Corporation Malaysia Bhd (CGC) memeterai perjanjian jaminan portfolio bernilai RM50 juta untuk membiayai perusahaan mikro di negara ini.

Ketua Eksekutif BSN, Datuk Yunos Abd Ghani, berkata ini adalah perjanjian kedua antara pihaknya dan CGC untuk menyokong pertumbuhan perusahaan mikro selepas perjanjian jaminan portfolio pertama pada Mei 2017.

Beliau berkata, melalui perkara itu, BSN akan memberikan skim pembiayaan dalam dua bahagian berjumlah RM50 juta dengan pecahan sebanyak RM25 juta, masing-masing bagi skim jaminan portfolio konvensional dan Islam.

Skim pembiayaan itu, katanya bertujuan membantu usahawan mikro dengan modal kerja dan untuk pemerolehan aset.

“Kerjasama dengan CGC menunjukkan usaha kami memberikan bantuan kewangan kepada perusahaan mikro yang layak dan berdaya maju untuk membantu memacu kemajuan transformasinya ke dalam perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

“Kami percaya ia dapat membantu usahawan mikro untuk menangani keperluan pembiayaan dan pertumbuhan perniagaan mikro akan membantu merangsang ekonomi Malaysia. BSN komited kepada inisiatif inklusi kewangan dan memastikan pembiayaan diberikan kepada perusahaan mikro,” katanya dalam satu kenyataan.

Sejak dilancarkan pada 2007, Skim Pembiayaan BSN Mikro/i telah membiayai lebih 64,000 pelanggan menjelang Jun 2019 dengan jumlah pembayaran sebanyak RM1.7 bilion.

Ia berbanding 320 pelanggan dengan jumlah pengeluaran sebanyak RM5 juta pada tahun pertama ia diperkenalkan.

Leave a Reply

Top