MH Online

Laman Suara Rakyat

Britain Kuatkuasa Kurantin Kepada Pelancong Perancis & Belanda

Britain Kuatkuasa Kurantin Kepada Pelancong Perancis & Belanda

Britain akan menguatkuasakan semula peraturan kuarantin kepada pelancong dari Perancis dan Belanda susulan peningkatan kes COVID-19, di kedua-dua negara itu.

Menteri Pengangkutannya, Grant Shapps, berkata pelancong dari dua negara itu yang tiba di United Kingdom (UK) selepas jam 4 pagi mulai esok diwajibkan untuk menjalani tempoh kuarantin selama 14 hari.

“Data menunjukkan bahawa kita perlu mengeluarkan Perancis, Belanda, Monaco, Malta, Turks, Caicos dan Aruba daripada senarai Koridor Perjalanan COVID-19, kami untuk memastikan kadar jangkitan menurun.

“Sehubungan itu, jika anda tiba di UK selepas jam 4 pagi, pada Sabtu ini anda perlu mengasingkan diri selama 14 hari, ” katanya, semalam.

Langkah itu berkemungkinan akan membuatkan kira-kira 500,000 pelancong dari Britain yang kini berada di Perancis ‘keluar’ dari negara itu secara beramai-ramai.

Britain pada mulanya menguatkuasakan kuarantin secara meluas kepada semua pengunjung yang tiba ke negara itu, namun kemudiannya mewujudkan ‘koridor perjalanan’ yang mengecualikan pelancong dari negara tertentu untuk menjalani tempoh pengasingan diri.

Bagaimanapun, negara itu memperkenalkan semula kuarantin untuk pelancong dari Sepanyol pada akhir Julai lalu, sekali gus mengejutkan syarikat penerbangan dan ribuan warga Britain yang sedang bercuti ke negara itu.

Minggu lalu, Britain menguatkuasakan semula peraturan kuarantin kepada pelancong dari Andorra, Belgium dan Bahamas.

Dengan lebih 41,000 kematian disebabkan COVID-19, Britain menjadi negara yang paling teruk terjejas di Eropah menyebabkan Perdana Menterinya, Boris Johnson dikritik dalam menangani krisis berkenaan. – AFP