MH Online

Laman Suara Rakyat

Britain Beri Amaran Kepada China

Britain Beri Amaran Kepada China

LONDON, Britain semalam memutuskan untuk menghantar armada kapal penggempur paling kuatnya melawat lima pelabuhan di Jepun sebagai tanda sokongan menghadapi ancaman Jepun.

Tindakan simbolik itu dilihat sebagai amaran kepada China berhubung sebarang ancaman terhadap kebebasan belayar di perairan rantau Asia Pasifik.

Kumpulan penggempur terdiri daripada kapal perang Tentera Laut Diraja Britain dengan diketuai kapal pengangkut pesawat, HMS Queen Elizabeth, akan menuju ke perairan berkenaan.

Selepas menyertai latihan tentera bersama tentera laut negara sekutunya, armada gempur itu akan melawat lima pelabuhan di Jepun September ini, kata beberapa pegawai semasa lawatan Setiausaha Pertahanan Britain, Ben Wallace, ke Tokyo.

Sebagai tambahan, kapal peronda luar pesisir, HMS Spey dan HMS Tamar akan memulakan kerahan tetap ke rantau berkenaan bulan depan dengan sokongan kapal perang dari Australia, Jepun serta Singapura.

China menuntut kedaulatan ke atas hampir keseluruhan Laut China Selatan, sekali gus mencetuskan kemarahan jirannya dan mengundang bantahan luar termasuk daripada kerajaan Amerika Syarikat (AS).

Wallace berkata, Britain ‘bertanggungjawab’ mendesak kebebasan belayar apabila kumpulan penggempur itu belayar merentasi Laut China Selatan menuju ke Jepun.

“Bukan rahsia lagi bahawa China mengawasi dan mencabar kapal yang melakukan pelayaran di perairan antarabangsa di laluan tidak menyalahi undang-undang (Laut China Selatan),” katanya kepada akhbar The Times di Tokyo.

“Kita menghormati China dan berharap China menghormati kita. Kita akan belayar di mana dibenarkan oleh undang-undang antarabangsa,” tegasnya. – AFP