KUALA LUMPUR, Barisan Nasional (BN) tidak bergantung kepada kelemahan dan perpecahan pembangkang untuk memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin berkata, BN menumpukan kepada strategi pengukuhan parti komponen untuk mengekalkan mandat rakyat bagi meneruskan tampuk pemerintahan.

Katanya, BN juga tidak menumpukan kepada strategi melemahkan parti lawan untuk terus berkuasa.

Beliau yang juga Pengerusi Pemuda BN, berkata Jalinan Rakyat (JR) Plus yang dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, Jumaat lalu adalah strategi terkini untuk persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-14.

“Sebab itu kita lancarkan JR Plus sebagai bentuk jentera baharu, senjata sangat berbisa. Jentera merangkumi sayap Wanita, Pemuda, dan Puteri UMNO.

“Kita tidak perlu lihat parti lawan, cukup kita bersedia… kita kuat rakyat terima. Insya-Allah kita menang,” katanya merasmikan Kejohanan Balapan dan Padang Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Tun Dr Ismail (2), Kuala Lumpur, di Arena Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) di sini hari ini.

SK Taman Tun Dr Ismail (2) adalah antara 33 sekolah terpilih mempromosi Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 yang berlangsung pada 19 hingga 30 Ogos ini.

Khairy yang juga Menteri Belia dan Sukan, berkata seperti Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, beliau tidak perlu melihat kekuatan pasukan seperti Thailand, Vietnam dan Singapura, sebaliknya akan menumpukan kepada persiapan negara menghadapi temasya serantau itu.

Katanya, beliau tidak perlu pergi ke negara itu untuk melemahkan mereka.

“Begitu juga dalam politik, saya tak perlu lemahkan pembangkang. saya tak kisah apa DAP dan PKR buat, kita kuat, rakyat boleh terima,” katanya.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *