MH Online

Laman Suara Rakyat

BN Terus Desak Pengeluaran Wang RM10,000 KWSP

BN Terus Desak Pengeluaran Wang RM10,000 KWSP

BAGAN DATUK, Barisan Nasional (BN) terus menggesa kerajaan Persekutuan menerima cadangan Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak supaya bayaran sekaligus diberikan kepada pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berbanding secara berperingkat.

Pengerusinya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, pengeluaran wang akaun satu KWSP berjumlah RM10,000 secara sekali gus perlu dipertimbangkan semula sebelum Bajet 2021 diluluskan kerana ia benar-benar diperlukan rakyat.

Beliau berkata, bukan itu sahaja, Kementerian Kewangan perlu melakukan beberapa penyesuaian bagi memastikan bayaran bulanan RM500 seperti diumumkan sebelum ini ditukarkan kepada pengeluaran secara sekali gus.

“Ahli-ahli Parlimen UMNO dan BN sepakat menyokong permintaan Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan BN (BNBBC), Datuk Seri Najib mengenai pengeluaran RM10,000 daripada akaun satu KWSP pencarum. Cadangan itu harus diterima sebagai satu saranan yang terbaik kerana rata-rata pencarum merupakan mereka yang berpendapatan rendah.

“Jika bayarannya hanya RM500 sebulan, ini tidak memenuhi matlamat mereka untuk membayar bebanan yang ditanggung oleh pencarum itu sendiri,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan Program Ziarah Kasih di sekitar Parlimen Bagan Datuk, di sini hari.

Hadir sama dalam program tersebut, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kawasan Hutan Melintang, Datuk Khairuddin Tarmizi dan ADUN Rungkup, Datuk Shahrul Zaman Yahya.

Ahmad Zahid berkata, pemberian wang tersebut tidak membabitkan perbelanjaan kerajaan kerana wang tersebut merupakan simpanan pencarum KWSP.

Pada 10 November lalu, Najib ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2021 di Dewan Rakyat mengemukakan cadangan supaya meluluskan gesaan pelaksanaan moratorium secara pukal dan pengeluaran one-off RM10,000 daripada akaun satu Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Bekas Perdana Menteri itu juga menegaskan BN bersedia menyokong Belanjawan 2021 yang dibentangkan berjumlah RM322.5 bilion secara bersyarat asalkan dua cadangan itu diterima.