MH Online

Laman Suara Rakyat

BN Sokong Belanjawan Jika Permintaan Dihormati

BN Sokong Belanjawan Jika Permintaan Dihormati

KUALA LUMPUR, Ketua UMNO Bahagian Johor Bahru, Tan Sri Shahrir Abdul Samad berkata Barisan Nasional (BN) akan terus menyokong Belanjawan 2021 jika pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan moratorium dilanjutkan sebagaimana menjadi harapan rakyat.

Jelas beliau, pengeluaran wang KWSP adalah milik pencarum dan pencarum sangat memerlukan pada saat terdesak ini.

“Ini duit orang sendiri, dalam keadaan yang terdesak ini dan luar biasa, kita tak tahu macam mana pada tahun 2021 tetapi pilihan itu ada diberikan kepada rakyat. Orang berada dalam lemas dan hendakkan pelampung… dan dia minta pelampung dia, bukannya minta pada kerajaan, hanya minta pelampung sekejap saja.

“Kalau nak guna duit KWSP yang tersasar kepada B40 sedangkan M40 di bawah ini pun lagi terkesan disebabkan hilang pekerjaaan, hendakkan bantuan, membayar bil, hutang dan berbagai tanggungan. Kalau tidak diluluskan sepertimana yang diminta, BN tidak akan sokong bajet ini.

“40 peratus lebih pencarum mempunyai RM1,000 di dalam KWSP. Rakyat pun tahu yang tiada duit tidak boleh keluar pun. Rakyat mahu melihat satu kerajaan yang menghormati rakyat dan percaya kepada rakyat serta kebolehan rakyat untuk mempertimbangkan untuk membuat sesuatu dengan penuh kebijaksanaan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Segmen Bicara Belanjawan 2021 mengulas isu bajet bersama Datuk Dr Noor Azizan Abdul Majid, menerusi siaran langsung facebook UMNO Online, malam tadi.

Jelas Shahrir lagi, rakyat hendakkan sebuah kerajaan yang menghormati kebolehan dan kebijaksanaan mereka berfikir dan membuat keputusan yang baik.

“Rakyat melihat ada orang yang perjuangkan kepentingan dan kehendak rakyat dan rakyat bukannya hendak keluarkan semua wang RM10,000, RM20,000 atau semua yang ada dalam KWSP tetapi disebabkan dalam keadaan terdesak yang luar biasa, cuma sejumlah saja” jelasnya lagi.

Berkaitan belanjawan 2021, Shahrir menegaskan belanjawan ini kurang menyakinkan dan rakyat tidak teruja dengan belanjawan yang telah dibentangkan Jumaat lalu.

“Kalau dalam pandangan yang setahun ini pun tidak ada sesuatu yang jelas, teruja, baharu dan menyakinkan, bagaimana hendak merancang lima tahun akan datang.

“Pada saya ianya tidak baik bagi satu negara dan akhirnya akan terkesan kepada rakyat dan negara. Tanggungjawab kepimpinan adalah untuk menjaga serta mentadbir rakyat. Hari ini kita mempunyai pemimpin yang lemah, dan bagi saya ia mengecewakan kerana bajet pada tahun depan tidak mempunyai kekuatannya tersendiri dan kelebihan.”

Lantaran itu beliau mengharapkan agar pemimpin-pemimpin negara harus sedar akan tanggungjawab masing-masing.

“Buatlah jangan lama-lama kerana negara kita tengah menurun. Pemimpin negara harus sedar, kalau tak mampu… serahlah.

“Jangan kita fikir kepimpinan yang lima tahun akan datang, jika hendak fikir kita kena tengok kepimpinan yang baharu dan balik semula kepada demokrasi dengan adanya pilihan raya dan kembalikan semula kepada mandat kepada rakyat.

“Bila kita memimpin kita diberikan amanah dan kalau rasa tidak boleh memenuhi amanah itu maka kita kena mengambil tindakan yang paling sesuai dan bijaksana,” ujarnya.

Sebenarnya yang akan mendapat manfaat dan tidak mendapat manfaat daripada bajet ini adalah rakyat dan negara, tambah Shahrir lagi.

“Negara kita hendak maju dan bertahan dalam wabak yang kritikal dan rakyat juga harus dipertahankan kerana mereka hilang pekerjaan dan perlukan bantuan. Ini semua kita telah buat dan ada laluannya, cara dan kaedahnya,” tegasnya lagi.