MH Online

Laman Suara Rakyat

BN Sambut Baik Kesediaan Bersatu Kompromi

BN Sambut Baik Kesediaan Bersatu Kompromi

KUALA LUMPUR, Barisan Nasional (BN) akan berunding dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) mengenai pembahagian kerusi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Setiausaha Agungnya, Tan Sri Annuar Musa, berkata BN menyambut baik kesediaan BERSATU mengurangkan jumlah kerusi yang akan ditandingi dan kedua-dua parti akan memastikan kerjasama baik di antara mereka berterusan.

“Saya mengalu-alukan kenyataan Setiausaha Agung BERSATU bahawa mereka bersedia bertanding sejumlah kerusi yang lebih rendah dari apa yang digembar-gemburkan sebelum ini.

“Insya-Allah kita akan berunding secara berlapang dada,” katanya menerusi ciapan di Twitter hari ini.

Annuar yang juga Ketua UMNO Bahagian Ketereh menyatakan demikian sebagai mengulas kenyataan Setiausaha Agung BERSATU, Datuk Seri Hamzah Zainuddin, bahawa parti itu sedia mengurangkan jumlah kerusi untuk ditandingi pada PRN Sabah.

“Jumlah 45 kerusi itu sasaran awal. Namun sebaik mencapai persetujuan, jumlah itu akan dikurangkan,” katanya kepada media selepas bermesyuarat bersama pemimpin BERSATU Sabah, di Kota Kinabalu, semalam.

Mengulas lanjut Annuar berkata, apa yang menjadi keutamaan ialah mengukuhkan penyatuan bagi membolehkan agenda rakyat disempurnakan.

Sementara itu, mengulas mengenai penubuhan parti politik baharu, beliau berkata itu, petanda bahawa Pilihan Raya Umum (PRU) semakin hampir.

“Banyak parti politik tumbuh, bermakna PRU semakin hampir. Perjuangan ikut nawaitu masing masing.

“Banyak juga parti politik terbentuk untuk membela dan mempertahan legasi dan ego individu, tidak kurang untuk menjaga dinasti dan keluarga. Rakyat cuma pelapik dan alasan,” katanya dipercayai merujuk kepada penubuhan parti baharu oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Dr Mahathir dua hari lalu mengumumkan penubuhan parti baharu yang menyokong dasar BERSATU seperti awal penubuhan dulu.