Barisan Nasional (BN) Perak tidak pernah mengambil mudah dan sentiasa memberi perhatian serius terhadap mana-mana pilihan raya termasuk pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Kuala Kangsar pada 18 Jun ini.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata BN tidak boleh alpa dan perlu mencipta strategi terbaik untuk memastikan kerusi Parlimen Kuala Kangsar kekal miliknya.

“Dalam setiap pilihan raya kita perlu memberi perhatian yang serius. Kita ada peluang jadi kita perlu menang.

“Kita akan memasuki medan perang. Kita perlu ambil segala aspek-aspek persiapan dan tidak boleh menggangap apa jua keadaan yang berlaku kepada pembangkang sebagai peluang,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis graduasi bersepadu GiatMara Perak di sini hari ini.

Zambry yang juga Menteri Besar Perak berkata bagi memastikan kemenangan dalam PRK Kuala Kangsar, BN akan membuat beberapa penilaian terhadap sesebuah kawasan dan tidak hanya fokus terhadap satu isu sahaja.

“Adalah menjadi kelaziman dalam mana-mana pilihan raya anda perlu beri perhatian terhadap setiap kawasan kerana tiap-tiap kawasan mempunyai masalah tersendiri yang perlu diselesaikan,” katanya.

Mengenai calon, Zambry berkata beberapa individu sesuai sudah dikenal pasti dan senarai nama telah diserah kepada pucuk pimpinan parti untuk penilaian.

PRK Kuala Kangsar perlu diadakan berikutan kematian Anggota Parlimennya Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad dalam nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak 5 Mei lepas.

Turut terkorban dalam nahas itu anggota Parlimen Sungai Besar, Selangor yang juga Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Noriah Kasnon.

Jumaat lepas, Suruhanjaya Pilihan Raya mengumumkan PRK Parlimen Kuala Kangsar dan Sungai Besar diadakan serentak pada 18 Jun, manakala penamaan calon pada 5 Jun.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *