MH Online

Laman Suara Rakyat

BN Muktamadkan Calon PRK Tg Piai Dalam Masa Terdekat

BN Muktamadkan Calon PRK Tg Piai Dalam Masa Terdekat

KUALA LUMPUR, Barisan Nasional (BN) akan memuktamadkan calon bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai dalam masa terdekat.

Pengerusi BN yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata keputusan itu akan diputuskan menerusi mesyuarat Dewan Tertinggi BN.

“Kita ikut jadual yang ditentukan SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya) dan akan adakan mesyuarat dengan presiden parti komponen BN selepas ini.

“Kita sudah menetapkan tarikh (untuk umumkan calon bertanding), akan diberitahu dalam masa terdekat ini,” katanya ketika ditemui media di lobi Parlimen, hari ini.

Semalam, Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong memberi bayangan partinya memiliki ramai calon berpotensi untuk diketengahkan sebagai calon BN dalam PRK berkenaan.

Isu calon BN dilihat menjadi rebutan dalam komponen itu selepas UMNO dikhabarkan berminat menurunkan wakil menentang calon Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) mewakili Pakatan Harapan (PH).

Setakat ini, GERAKAN mengesahkan akan meletakkan calon di PRK Tanjung Piai, Johor, sekali gus menyaksikan pertembungan sekurang-kurangnya tiga penjuru pada PRK 16 November ini.

PRK itu diadakan susulan kematian penyandangnya, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Md Farid Md Rafik, daripada BERSATU pada 21 September lalu akibat komplikasi jantung.

Allahyarham Dr Md Farid memenangi kerusi itu dengan majoriti 524 undi pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) menewaskan penyandang dari BN, Datuk Seri Wee Jeck Seng dan calon PAS, Nordin Othman.