Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > BN Kelantan Janji Hapus Kegiatan Perjudian

BN Kelantan Janji Hapus Kegiatan Perjudian

MACHANG, Barisan Nasional menyatakan komitmen untuk menghapus kegiatan perjudian seratus peratus di Kelantan sekiranya rakyat memberi mandat mentadbir negeri itu pada Pilihan Raya Umum Ke-14.

Komitmen BN itu diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai menepis tomahan pihak tertentu kononnya jika BN kembali mentadbir negeri ini akan menghalalkan kegiatan perjudian.

“Saya selaku Menteri Dalam Negeri mengarahkan Ketua Polis Kelantan Datuk Hasanuddin Hassan dan timbalannya Datuk Din Ahmad untuk menghapuskan kegiatan perjudian seratus peratus,” katanya ketika berucap pada Majlis Sepetang Bersama Timbalan Perdana Menteri yang dihadiri lebih 10,000 orang penduduk Machang di sini, hari ini.

Turut hadir Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed selaku Pengerusi Barisan Nasional Kelantan dan Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Ahmad Jazlan Yaakub yang juga Anggota Parlimen Machang.

“Ini komitmen saya, ini janji saya, janji yang ditepati, saya tidak ada kompromi dalam soal akidah dan ibadah,” katanya yang juga Naib Presiden UMNO yang menjalankan tugas-tugas Timbalan Presiden UMNO.

Leave a Reply

Top