Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > BN Hormati Apa Saja Keputusan MCA

BN Hormati Apa Saja Keputusan MCA

KUALA LUMPUR, BN tidak ada menerima sebarang permohonan rasmi daripada MCA untuk keluar daripada gabungan itu, kata pengerusinya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau bagaimanapun berkata apa jua keputusan yang akan diambil parti teras BN itu akan dihormati.

“Kami harap keputusan apa pun mesti dimaklumkan kepada kami untuk tindakan lanjut,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat BN bersama para anggota Dewan Negara mewakili parti itu di sini, hari ini.

Ahmad Zahid yang juga Presiden Umno, mengulas syor agar MCA meninggalkan BN yang merupakan antara agenda dibincangkan perwakilan parti itu pada Mesyuarat Agung Tahunannya yang berakhir hari ini.

MCA dan Umno adalah dua parti terawal membentuk gabungan dikenali sebagai Perikatan pada 1952 sebelum disertai MIC dan dijenamakan semula sebagai BN pada 1973.

PRU14, MCA hanya memenangi satu kerusi Parlimen iaitu Ayer Hitam yang diwakili presidennya Datuk Seri Wee Ka Siong yang pada masa itu memegang jawatan timbalan presiden parti.

Ditanya sama ada BN mampu menarik pengundi Cina sekiranya MCA, parti berteraskan kaum Cina, keluar daripada BN, Ahmad Zahid yakin BN mempunyai kaedah sendiri.

“Sudah tentunya tidak 100 peratus orang Cina menyokong parti yang menjadi kerajaan sekarang ini, tentunya mereka harapkan alternatif lebih majmuk,” katanya.

Tambahnya, BN juga mempunyai banyak parti lain berteraskan kaum Cina, selain MCA.

Leave a Reply

Top