REMBAU, Barisan Nasional (BN) membantu semua orang tanpa mengira warna kulit sepanjang parti tersebut memegang tampuk pemerintahan negara, kata Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan.

Beliau berkata ini dapat dilihat sepanjang 60 tahun BN mentadbir negara ini dengan semua kaum dibantu secara adil dan saksama tanpa mengira pegangan agama serta budaya.

“Menerusi pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, beliau mahu melihat semua kaum majoriti dan juga minoriti terutama kaum India mendapat kemudahan dan perhatian yang sama dengan Melayu dan Cina.

“Perdana menteri kita telah menubuhkan satu jawatankuasa khas untuk pembangunan masyarakat India dengan membuat perancangan jangka masa panjang yang dipanggil Malaysia Indian Blueprint,” katanya semasa berucap di Pesta Kebudayaan Masyarakat India Peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau di sini, hari ini.

Turut hadir Anggota Parlimen Rembau yang juga Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin dan Ketua Penerangan MIC Kebangsaan VS Mogan.

Sementara itu, beliau berkata golongan muda perlu terus memperkasa budaya dan agama kaum masing-masing supaya mereka mempunyai asas serta jati diri yang kukuh agar tidak mudah dipengaruhi.

“Budaya dan jati diri yang harus dipegang generasi muda diibaratkan sebagai sebatang pokok, yang menguatkannya adalah akar umbi iaitu budaya, agama dan ketamadunan kerana pokok tidak tumbang jika daun gugur kerana akarnya masih lagi mencengkam tanah.

“Kita perlu mengambil peranan agar sentiasa menerangkan, menghidupkan dan memperkasakan budaya supaya anak muda India, Melayu dan Cina mempunyai kekuatan jati diri bagi membantu hala tuju mereka,” katanya.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *