SEGAMAT, Seorang warga tua yang pernah berkhidmat sebagai Home Guard menentang komunis di Bukit Kepong, Muar, dapat kejutan istimewa hari ini apabila menerima bantuan sara hidup RM200 selama setahun daripada Biro Kebajikan UMNO (BiKUM).

Hasan Mohamed Sah, 80, menerima berita gembira itu selepas dilawati Pengerusi BiKUM, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah dan rombongan program UMNO Bantu Rakyat 2.0 di rumahnya di Kampung Paya Merah Lama, Labis, dekat sini, hari ini.

Hasan yang tinggal bersama isterinya, Tijah Salam, 76, berkata beliau amat bersyukur dengan keprihatinan UMNO yang sentiasa mengambil berat dan memberikan bantuan kepada mereka berdua.

“Alhamdulillah, saya dan isteri amat terharu dan berterima kasih kerana Datuk Shamsul (Pengerusi BiKUM) sudi menjenguk kami berdua malah datang membawa buah tangan serta memberikan bantuan sara hidup.

“UMNO Bahagian Labis juga memang banyak membantu saya dan isteri sejak dulu termasuk membantu memohon rumah Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) yang sudah kami duduki sejak 2009.

“Hanya UMNO yang rajin menjenguk kami bertanya khabar dan memberi bantuan secara berterusan sejak dulu,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Terdahulu, Shamsul Anuar yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO merasmikan program berkenaan di Dewan Serbaguna Kampung Paya Merah, dekat sini, dan turut menyampaikan bantuan pembukaan akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN-i) serta barangan keperluan harian kepada ibu tunggal dan anak yatim.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tenang, Mohd Azahar Ibrahim yang juga Pengerusi BiKUM Johor.

Sementara itu, Shamsul Anuar, berkata langkah BiKUM memberi bantuan sara diri RM200 selama setahun untuk Hasan adalah bagi menghargai pengorbanan dan jasa besarnya melawan komunis di Bukit Kepong.

“Bantuan sara hidup kepada Hasan sebenarnya tiada dalam senarai BiKUM namun kami wujudkan selepas terharu mendengar kisah perjuangannya berhadapan komunis di Bukit Kepong.

“Bagi program UMNO Bantu Rakyat 2.0 di Johor, BiKUM memperuntukkan RM900,000 bagi pelbagai bantuan termasuk membaiki pendawaian elektrik selain membantu pesakit terlantar dan warga tua,” katanya.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *