MH Online

Laman Suara Rakyat

BERSATU Perlu Lakukan Pengorbanan

BERSATU Perlu Lakukan Pengorbanan

KUALA LUMPUR, Ketiadaan Parti Pertubuhan Bersatu Malaysia (BERSATU) dalam pendaftaran Muafakat Nasional (MN) dilihat sebagai antara tekad UMNO menuntut beberapa syarat perjanjian kerjasama baharu.

Bagaimanapun, pintu kerjasama masih terbuka untuk BERSATU melakukan beberapa pengorbanan atau berdepan risiko besar menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Penganalisis politik, Azmi Hassan, berpandangan Pilihan Raya Negeri Sabah ke-16 adalah episod titik tolak terakhir yang menyaksikan kesabaran UMNO mencapai kemuncak, meskipun memegang kerusi terbanyak dalam Perikatan Nasional (PN).

“PAS sekadar mengikuti langkah ‘abangnya’ UMNO dalam MN disebabkan perbezaan kerusi dan kemungkinan meraih sokongan menjelang PRU-15, justeru lembaran syarat baharu kerjasama dikemukakan.

“Penuhi dulu tuntutan yang dikemukakan UMNO, sebelum undangan sama dizahirkan pada Ogos lalu sekali lagi diberikan kepada BERSATU untuk menjadi sebahagian daripada keluarga MN.

“Dalam catur politik, ini bukan langkah ‘checkmate’ kerana BERSATU masih mempunyai kelebihan dari segi masa untuk melewat-lewatkan keperluan memenuhi syarat UMNO,” dipetik sebagai berkata.

Setiausaha Agung MN, Tan Sri Annuar Musa dan Datuk Takiyuddin Hassan, dalam kenyataan bersama semalam dilaporkan berkata, kedua-dua parti bersetuju mendaftarkan gabungan itu secara rasmi dengan Pendaftar Pertubuhan Malaysia (RoS).

Kenyataan terkini dikeluarkan tepat seminggu selepas UMNO melalui Biro Politiknya secara sendirian memberitahu parti itu sedang mempertimbangkan sokongan terhadap kerajaan pimpinan Muhyiddin serta syarat baru yang akan dikemukakan kepada Perikatan Nasional (PN) dalam meneruskan kerjasama.

Mesyuarat Jawatankuasa Induk MN yang sepatutnya berlangsung kelmarin bagi membincangkan penyertaan BERSATU dalam blok politik itu ditangguhkan pada saat akhir, didakwa berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya ketika ini.

Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin, pada Ogos lalu mengumumkan parti pimpinannya bersetuju menyertai MN dan memeterai kerjasama dengan UMNO dan PAS, selepas menerima undangan sedemikian daripada gabungan berkenaan.

Azmi berkata, antara kemungkinan syarat lain UMNO ialah langkah memulangkan kerusi tradisi yang terlepas kepada BERSATU pasca PRU-14.

“Jawatan Kabinet tidak kritikal dan UMNO tidak akan ‘all out’ (bersungguh) menuntut dan menjadikannya sebagai antara syarat penting untuk dipenuhi.

“Kalau lihat keadaan sekarang, UMNO tidak akan ugut tarik sokongan kerana mereka bakal dihukum pengundi sekiranya berlaku PRU-15.

“BERSATU sebenarnya mempunyai masa sehingga hujung tahun untuk memenuhi tuntutan UMNO dan kelebihan ini adalah susulan pandemik kesihatan yang berlaku ketika ini.

“Belanjawan bulan depan juga tidak menunjukkan sebarang isu kerana UMNO akan memberi sokongan sokongan berikutan menyedari sebarang tindakan sabotaj bakal menerima hukuman rakyat,” katanya.