MH Online

Laman Suara Rakyat

Bersatu Bantu Kempen Calon BN

Bersatu Bantu Kempen Calon BN

TAPAH, Jentera parti Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) bergerak seiring bagi membantu perjalanan kempen calon Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim, kata Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Ahmad Faizal berkata, kempen yang sudah memasuki hari ketujuh berjalan lancar tanpa sebarang masalah.

“Saya melihat (perjalanan kempen PRK Slim) tiada masalah langsung, kita sangat selesa dengan kepimpinan UMNO dan juga daripada PAS.

“Kami bergerak seiring walaupun saya akui di Slim, UMNO lebih bergerak kerana calon mereka yang bertanding, tetapi sebenarnya di sebalik tabir kami bergerak seiring dengan jentera BN,” katanya selepas merasmikan Majlis Penyerahan Kit Bumi Hijau Peringkat Daerah Batang Padang di Dewan Serbaguna Sungai Lah, Chenderiang.

Beliau yang juga Pengerusi BERSATU Perak berkata demikian sebagai mengulas apabila ditanya pemberita berkaitan samada jentera parti negeri membantu kempen untuk calon yang bertanding di PRK Slim.

Sementara itu, Ahmad Faizal berkata, keputusan BERSATU menyertai Muafakat Nasional (MN) diputuskan secara bersama dalam Mesyuarat Majlis Kepimpinan Tertinggi dengan turut mengambil kira suara majoriti di peringkat akar umbi.

Ahmad Faizal turut mengulas berkenaan penerimaan akar umbi terhadap penyertaan BERSATU dalam MN.

“Saya nampak ia lebih merangsang kepada ahli di peringkat bawahan, tidak kira daripada parti UMNO, PAS atau BERSATU. Orang ramai secara umum seronok mendengar cerita bahawa parti yang mewakili kaum Melayu ini bergabung. Tentunya ada pihak yang tidak berapa suka yang sebenarnya tidak mahukan penggabungan ini berlaku atas sebab tersendiri,” katanya.

PRK Slim menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon BN dan dua calon Bebas.

BN mempertaruhkan anak tempatan Slim, Mohd Zaidi Aziz, 43, yang juga pemangku Ketua UMNO Bahagian Tanjung Malim bagi mempertahan kerusi berkenaan.

Seorang lagi calon adalah peguam, Amir Khusyairi Mohamad Tanusi, 38, yang bertanding atas tiket Bebas mewakili kem bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Seorang lagi calon Bebas, Santhara Sekaran Subramanian, 42, adalah seorang bekas guru.