Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > BERSATU Akan Bincang Kekosongan Kerusi Semenyih

BERSATU Akan Bincang Kekosongan Kerusi Semenyih

SHAH ALAM, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Selangor akan bermesyuarat susulan kematian wakil rakyatnya, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semenyih, Bakhtiar Mohd Nor, awal pagi tadi.

Pengerusinya, Datuk Abdul Rashid Asari, berkata mesyuarat berhubung kekosongan kerusi itu akan dibincangkan selepas selesai pengebumian Allahyarham Bakhtiar.

“Saya akan berbincang dengan Tun Pengerusi (Pengerusi BERSATU, Tun Dr Mahathir Mohamad) dan Tan Sri Presiden (Tan Sri Muhyiddin Yassin) untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi pagi ini.

Bakhtiar disahkan meninggal dunia di Hospital Kajang akibat serangan jantung, jam 4.45 pagi tadi.

Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Selangor, Borhan Aman Shah, berkata jenazah Allahyarham akan dibawa pulang ke rumah keluarganya di Batu 19, Jalan Sungai Lalang, Semenyih, dan akan disembahyangkan selepas solat Jumaat di Masjid Kampung Pasir, Semenyih.

Jenazah kemudian akan disemadikan di Tanah Perkuburan Kampung Pasir.

Bakhtiar menjadi wakil rakyat di Semenyih sejak Mei tahun lalu selepas mengalahkan penyandang kerusi, Datuk Johan Abd Aziz, daripada Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) Mei tahun lalu dengan majoriti 8,964 undi.

Beliau yang juga Ketua Bahagian BERSATU Hulu Langat memperoleh 23,428 undi.

Leave a Reply

Top