Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > Beri Peluang Kepada DBKL

Beri Peluang Kepada DBKL

KUALA LUMPUR, Semua pihak diminta memberi peluang kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menjayakan perancangannya berhubung pemindahan operasi bazar Ramadan Lorong Tuanku Abdul Rahman (TAR)/Jalan Masjid India ke Jalan Raja di ibu negara.

Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad, berkata DBKL perlu diberi ruang dan kepercayaan supaya operasi bazar Ramadan terbabit dapat dilaksanakan dengan lebih baik berbanding sebelum ini.

“Ramai tidak setuju, ramai juga yang setuju, hakikatnya perkara ini diambil kira oleh DBKL dan mereka pun ada perbincangan dengan pihak berkenaan.

“Dakwaan kononnya jika pemindahan bazar terbabit ke Jalan Raja berhadapan Bangunan Sultan Abdul Samad boleh mengotorkan bangunan warisan berkenaan, ia sebenarnya tidak menjadi masalah,” katanya pada sidang media di lobi Parlimen hari ini.

DBKL sebelum ini berkata operasi bazar Ramadan Lorong Tuanku Abdul Rahman (TAR)/Jalan Masjid India dan kawasan sekitarnya pada tahun ini akan dipindahkan ke Jalan Raja iaitu berhadapan Bangunan Sultan Abdul Samad di ibu negara.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan, berkata lokasi bazar Ramadan itu akan bermula dari lampu isyarat persimpangan Jalan Gereja hingga ke lampu isyarat persimpangan Leboh Pasar Besar, merangkumi jarak 0.2 kilometer dan 12 meter lebar.

Bagaimanapun, keputusan DBKL itu menerima bantahan daripada golongan penjaja dan badan bukan kerajaan (NGO) kononnya lokasi baharu bazar itu akan menimbulkan pelbagai masalah termasuk kebersihan.

Mengulas lanjut, Khalid berkata, beliau terbuka dengan semua pandangan berhubung perkara terbabit dan sedia meneruskan perbincangan dengan pihak berkaitan.

“Kita mengambil kira semua cadangan, namun apa yang penting ialah perlu memberi peluang kepada DBKL melaksanakan perancangan mereka,” katanya.

Leave a Reply

Top