MH Online

Laman Suara Rakyat

Belanjawan 2021 Harus Dirunding Dengan Pembangkang

Belanjawan 2021 Harus Dirunding Dengan Pembangkang

KUALA LUMPUR, Belanjawan 2021 harus dirunding dengan pembangkang, sebelum dibentang di Parlimen bagi mendapat sokongan padu semua pihak.

Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) ketika menyuarakan gesaan itu menyifatkan saranan itu selari titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, semalam.

“Perdana Menteri (Tan Sri Muhyiddin Yassin) harus menjunjung titah Seri Paduka dengan mengadakan perbincangan dan rundingan segera dengan pihak pembangkang, berkenaan isi kandungan Belanjawan 2021, sebelum dibentangkan di Parlimen pada 6 November ini.

“Ini bagi memastikan ia dapat mencapai objektif-objektif yang diingini baginda,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Al-Sultan Abdullah, semalam menasihati ahli Dewan Rakyat supaya memberi sokongan padu kepada Belanjawan 2021, demi kesejahteraan dan kelangsungan hidup rakyat serta pemulihan ekonomi negara yang terkesan akibat penularan wabak COVID-19.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin, dilaporkan berkata Seri Paduka menegaskan Belanjawan 2021 amat penting kepada kerajaan dan pihak berkuasa, khususnya petugas barisan hadapan untuk meneruskan serta melancarkan usaha membendung ancaman wabak berkenaan.

Majlis Presiden PH berkata, Belanjawan 2021 perlu memberi fokus kepada keperluan petugas barisan hadapan yang menjadi benteng rakyat Malaysia daripada wabak COVID-19.

“Ia juga perlu menetapkan hala tuju yang mampu memastikan Malaysia akan terus maju sewaktu dan selepas pandemik, termasuk dengan mengenal pasti strategi-strategi pembangunan baharu untuk ekonomi serta membantu jutaan rakyat Malaysia yang terkesan.

“(Mereka terkesan) sama ada akibat kehilangan pekerjaan mahupun pendapatan pada tahun ini. Berjuta-juta rakyat Malaysia yang berada pada atau di bawah paras kemiskinan amat mengharapkan bantuan melalui belanjawan ini.

“Golongan yang mengharapkan moratorium pinjaman dilanjutkan juga tidak harus dipinggirkan.

“Majlis Presiden yakin bahawa semua Ahli Parlimen akan terbabit dalam sesi perbahasan yang sihat untuk memastikan Belanjawan 2021, mengutamakan kepentingan negara dan rakyat, serta menepati aspirasi seperti dititah baginda,” katanya.