MH Online

Laman Suara Rakyat

Belanjawan 2021 Diharap Bantu Pulih Sektor Pelancongan

Belanjawan 2021 Diharap Bantu Pulih Sektor Pelancongan

KUALA LUMPUR, Belanjawan 2021 diharap dapat membantu memulihkan sektor pelancongan, seni dan budaya, selain memberi suntikan kepada perancangan pembangunan ekonomi negara.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri, berkata belanjawan itu juga diharap dapat memberi peluang untuk kementerian membantu penggiat industri bawahnya supaya terus kukuh, sekali gus menyokong pemulihan ekonomi negara pada masa akan datang.

“Kementerian yakin sektor pelancongan, seni dan budaya, bersedia serta menjadi penggerak utama kepada pembangunan ekonomi secara menyeluruh.

“Ini adalah rantaian ekonomi yang amat besar, merentasi pelbagai segmen membabitkan aspek penginapan, pengangkutan darat, laut dan udara, makanan dan minuman, agensi pelancongan, aset warisan seni budaya serta pengurusan acara,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Beliau berkata, dalam memastikan sektor itu terus berkembang, kementerian akan mempergiat usaha meningkatkan penggunaan teknologi serta inovasi dalam merancakkan industri pelancongan, seni dan budaya.

“Ia boleh dilakukan dengan membangunkan pusat data raya bagi membantu pemasaran dan promosi produk serta perkhidmatan berkaitan pelancongan, seni, budaya dan warisan,” katanya.

Nancy berkata, kemudahan infrastruktur pelancongan, program ‘outreach, upskilling and reskilling’ juga akan diberi keutamaan oleh kementerian, selain mempelbagaikan produk dalam industri terbabit.

“Kementerian akan meningkatkan kerjasama dengan semua agensi kerajaan pada peringkat Persekutuan dan negeri serta penggiat industri ini, bagi menjayakan matlamat menjadikan Malaysia destinasi pelancongan yang lestari dan kaya budaya,” katanya.