MH Online

Laman Suara Rakyat

Bekas Pengarah Syarikat Didakwa Buat Tuntutan Palsu Lebih RM1 Juta

Bekas Pengarah Syarikat Didakwa Buat Tuntutan Palsu Lebih RM1 Juta

KUALA LUMPUR, Seorang bekas pengarah syarikat pembekal ubat-ubatan didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas tuduhan mengemukakan tuntutan palsu bagi pembayaran balik daripada Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani berjumlah lebih RM1 juta.

Gulam Rusol Md Ismail, 57, mengaku tidak bersalah dan memohon dibicarakan sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Azura Alwi.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Gulam Rusol sebagai presiden dan pengarah syarikat Natureceuticals Sdn Bhd didakwa mengemukakan permohonan bagi tuntutan bayaran balik pembelian Stickpack Machine berjumlah RM1,225,000 kepada Nordanial Rohimi, Pegawai Tadbir N41 dengan niat memperdayakan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.

Dokumen berkenaan mengandungi butiran palsu iaitu salinan invois Nothern Petrochem Sdn Bhd, salinan pesanan pembelian Natureceuticals Sdn Bhd, dua salinan masing-masing baucar pembayaran dan cek Maybank yang dilampirkan sedangkan pembelian Stickpack Machine tidak pernah dibekalkan.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di Pejabat Pembangunan Herba, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Aras 2, Bangunan Galeri PjH, Lot 29, Jalan P4W, Presint 4, Persiaran Perdana, Putrajaya, pada 16 Disember 2014.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda jumlah dipalsu atau RM10,000.

Sementara itu, di mahkamah sama, Pengarah Syarikat Nothern Petrochem Sdn Bhd, Kamaruzzaman Kamaludeen, 47, mengaku tidak bersalah atas bersubahat dengan Gulam Rusol melakukan kesalahan sama dan didakwa mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009 dan dibaca bersama Seksyen 28(1)(c) akta sama, yang memperuntukkan hukuman sama.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Mohamad Fadhly Mohd Zamry, menawarkan jaminan RM50,000 dengan seorang penjamin terhadap kedua-dua tertuduh, berserta syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah dan perlu melapor diri di pejabat SPRM berdekatan tempat tinggal.

Bagaimanapun, Gulam Rusol dalam rayuannya menerusi peguam Rahmat Mohamed Hazlan, memohon jaminan RM30,000 dengan alasan sudah memberi kerjasama penuh selain mempunyai masalah serangan jantung dan masih menerima rawatan sehingga kini.

Kamaruzzaman yang diwakili peguam Nasbal Harun memohon dibenarkan ikat jamin RM5,000 kerana baru dituduh di Mahkamah Sesyen Butterworth mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan dan dikenakan jaminan RM30,000 berserta syarat tambahan sama.

“Anak guam saya menghidap penyakit jantung, kencing manis dan darah tinggi selain perlu menanggung dua anak,” katanya.

Azura membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin RM30,000 dengan seorang penjamin, pasport diserahkan kepada mahkamah dan melaporkan diri di pejabat SPRM Pulau Pinang sehingga kes selesai.

Mahkamah menetapkan 17 Ogos ini untuk sebutan semula kes.